Logo Astro

KUALA LUMPUR – Astro Audio menyambut baik keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tidak menggantung lesen penyiaran radio Maestra Broadcast Sdn Bhd (Maestra), yang merangkumi Era FM, Mix FM dan Melody FM.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Daryl Smith berkata, Astro Audio juga mengambil maklum mengenai kompaun sebanyak RM250,000 yang dikenakan ke atas Maestra hari ini dan akan berhubung terus dengan SKMM terkait hal tersebut.

“Kami di Astro Audio sangat berbangga dengan perkhidmatan yang disediakan, digemari oleh individu dan keluarga dari segenap lapisan masyarakat di seluruh Malaysia.

“Kami kekal komited dalam mengangkat tema kepelbagaian dan perpaduan dalam setiap perkara yang dilakukan serta mengakui betapa besarnya kebimbangan dicetuskan akibat kekhilafan di Era terhadap sebahagian masyarakat yang dilayani,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Euan Daryl menambah, fokus Astro kini adalah membina semula kepercayaan yang telah dipupuk sekian lama oleh Era FM bersama para pendengarnya dan pada masa yang sama terus memberikan sokongan penuh kepada semua individu terlibat sambil beriltizam untuk berusaha belajar, menambah baik dan memastikan kandungan mencerminkan nilai-nilai saling menghormati dan terangkum.

SKMM hari ini berkata, ia telah menerima rayuan daripada Maestra sebagai pengendali stesen radio Era FM, berhubung notis niat penggantungan lesen yang telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut pada 7 Mac 2025.

Katanya, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama.

Walau bagaimanapun, Maestra telah dikenakan kompaun sebanyak RM250,000, bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

SKMM berkata, kompaun tersebut dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here