KUALA LUMPUR – Bekas ahli DAP, M. Satees menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan wujud amalan politik wang menjelang pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP hujung minggu ini.
Satees yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam bersedia membuat laporan rasmi terhadap SPRM berhubung dakwaan amalan politik tersebut bagi menuntut ketelusan.
Dakwanya, beliau dimaklumkan oleh seorang ahli seumur hidup DAP yang mana politik wang telah menyusup dalam proses pemilihan parti itu serta sedang berlaku secara berleluasa dan terang-terangan.
Tambahnya, ada perwakilan yang ditawarkan wang tunai kononnya sebagai elaun perjalanan selain diberikan penginapan di hotel lima bintang di ibu negara hujung minggu ini.
“Menurut beberapa sumber, seorang Ahli Parlimen dan ADUN dari Pulau Pinang terlibat secara aktif dalam mendapatkan undi bagi pihak ketua politik mereka.
“Malah sebuah hotel lima bintang dilaporkan telah ditempah hampir sepenuhnya untuk menempatkan perwakilan ini yang dijangka mengundi mengikut arahan.
“Beberapa perwakilan yang saya temui secara peribadi mengakui telah ditawarkan penginapan mewah serta insentif tunai sehingga RM1,000,” dakwanya seperti dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Satees yang kini merupakan Setiausaha Penaja, Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai) berkata, dakwaan amalan politik wang menjelang pemilihan CEC DAP tersebut adalah pelanggaran serius terhadap prinsip demokrasi.
Jelasnya, sepanjang 16 tahun bersama DAP sebelum ini juga amalan politik wang sebegitu tidak pernah berlaku.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa ada pemimpin yang sanggup mengkhianati prinsip perjuangan mereka dalam usaha terdesak untuk mendapatkan jawatan dalam pemilihan CEC kali ini,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, SPRM tidak boleh berdiam diri dengan dakwaan tersebut dan perlu bertindak tegas sekiranya benar-benar komited dalam memerangi amalan rasuah.
Jelasnya, pada 2018, SPRM pernah menggunakan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM untuk menahan dua pemimpin bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas kesalahan rasuah dalam pemilihan parti, justeru standard yang sama juga harus digunakan terhadap DAP ketika ini.
“Ini bukan sekadar isu dalaman parti tetapi soal integriti dalam politik Malaysia. Jika parti yang sedang berkuasa sendiri terlibat dalam politik wang, bagaimana mereka boleh bercakap soal memerangi rasuah yang lain?” soalnya. – MalaysiaGazette