TOKYO – Ketua Eksekutif (CEO) Nissan, Makoto Uchida melepaskan jawatannya susulan kegagalan rundingan penggabungan dengan pesaingnya, Honda.
“Lembaga Pengarah memutuskan pada 11 Mac 2025 untuk memilih Ivan Espinosa sebagai pegawai eksekutif menggantikan Makoto Uchida,” kata firma itu dalam satu kenyataan.
Espinosa menyertai Nissan di Mexico pada 2003 dan mempunyai jawatan di Asia Tenggara sebelum menjadi pengarah untuk Mexico dan Amerika Latin pada 2010.
Pembuat kereta itu berkata, perubahan kepimpinan dibuat untuk “mencapai objektif jangka pendek dan pertengahan syarikat sambil meletakkannya untuk pertumbuhan jangka panjang” namun tidak mengulas lanjut.
Nissan mengumumkan beribu-ribu pemberhentian kerja tahun lepas selepas melaporkan kejatuhan 93 peratus dalam keuntungan bersih pada separuh pertama, dan kini menjangkakan kerugian tahunan lebih daripada AS$500 juta.
Bulan lalu, Nissan dan Honda mengumumkan penamatan perbincangan penggabungan bagi mewujudkan syarikat automotif ketiga terbesar di dunia dengan jualan unit di belakang Toyota dan Volkswagen.
Bagaimanapun, perbincangan itu dilihat sebagai satu cara untuk meningkatkan perniagaan kenderaan elektrik mereka yang ketinggalan dengan Tesla dan firma China.
Ia selepas Honda mencadangkan menjadikan Nissan sebagai anak syarikat dan bukannya seperti rancangan awal untuk berintegrasinya di bawah syarikat induk baharu.
Honda, bagaimananapun berkata, ia bersedia untuk menghidupkan semula rundingan di bawah pengurusan tertinggi Nissan yang berbeza.
Walaupun rundingan dibatalkan, Presiden Honda Toshihiro Mibe berkata, pembuat kereta akan terus mencari “sinergi” melalui perkongsian strategik yang diumumkan pada Ogos yang turut termasuk rakan kongsi Mitsubishi Motors. – Agensi