KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan debat dengan pendakwah Islam, Muhammad Zamri Vinoth.
Beliau yang Ahli Parlimen Tapah berkata, pertimbangan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan berbincang dengan presiden parti itu serta pihak polis.
Namun bekas menteri Kabinet menjelaskan, tujuan asal debat itu bukan menyentuh isu antara agama sebaliknya lebih kepada mendidik Muhammad Zamri bagi membetulkan fakta.
“Ramai yang salah tafsir dengan debat ini dan saya nak betulkan di sini. Sebenarnya debat ini bukanlah di antara saya dan agama lain. Tidak berkaitan sama sekali.
“Ini bukan antara saya dengan agama lain tetapi antara saya dengan seorang belia yang membuat tuduhan liar terhadap agama Hindu.
“Debat itu sepatutnya mendidik beliau, mungkin beliau daripada latar belakang yang melibatkan ajaran sesat dalam agama sendiri.
“Jadi, menjadi tanggungjawab saya untuk membetulkannya melalui debat dan tidak sentuh pun agama lain,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Saravanan dilapor menetapkan tarikh debat bersama Muhammad Zamri pada 23 Mac ini susulan kenyataan kontroversi pendakwah berkenaan membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Kata beliau, Muhammad Zamri bebas memilih mana-mana lokasi di ibu kota untuk dijadikan malah Muhammad Zamri menyahut cabaran untuk berdialog secara terbuka dengan Saravanan dan berharap ia dapat dilaksanakan secara aman serta membuka minda masyarakat.
Isu terbabit mulai timbul apabila tiga penyampai radio Era FM iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir didakwa mempersenda tarian kavadi Hindu dalam satu video pendek sehingga mencetuskan kontroversi.
Mengulas lanjut, Saravanan turut menggesa polis mengambil tindakan tegas ke atas Zamri.
“Pada masa yang sama saya juga minta kerajaan dan PDRM ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak, tak kira bangsa dan agama sekiranya mereka menyentuh agama lain dan kita perlu ambil tindakan tegas.
“Kita lihat laporan polis terhadap Zamri Vinoth, bertahun-tahun (dibuat tetapi) tiada tindakan,” katanya.
Pada masa sama, Saravanan juga menasihati asyarakat beragama Hindu tidak mengambil tindakan sendiri dalam isu itu dengan mengeluarkan kenyataan sebaliknya membuat laporan polis. – MalaysiaGazette
