PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar bersetuju dengan Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang bahawa debat yang memfokuskan kepada perbezaan agama perlu dihentikan kerana bolehmengeruhkan hubungan masyarakat berbilang agama.
Jelasnya lagi, sekiranya debat berkaitan agama itu mengambil tempat maka akan menyebabkan masyarakat berpecah-belah.
“Sebenarnya benda ini kalau dibuat secara terbuka, dia (debat) akan menyebabkan apa itu, masyarakat akan lebih berpercahbelah.
“Jadi saya setujulah dan sokonglah apa yang disebut oleh rakan sejawat saya, Datuk Aaron (Ago Dagang) untuk pihak-pihak yang terlibat ini untuk dia fikirkan dan memastikan kesatuan dan perpaduan rakyat di negara kita ini yang berbilang agama, bangsa akan dapat diperkukuhkan,” katanya ketika ditemui wartawan selepas menghadiri program Erat Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini.
Mohd Na’im berkata demikian mengulas pertanyaan media berhubung satu debat terbuka yang ingin diadakan antara Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan penceramah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu.
Pagi tadi dalam sidang medianya, Saravanan membuat kenyataan tidak meneruskan debat bersama Zambri.
Jelasnya, keputusan itu dibuat demi selepas berbincang Aaron dan Presiden MIC, S Vigneswarn, polis dan pemimpin lain kerajaan yang tidak dinamakan.
Saravanan sebelum ini menetapkan 23 Mac untuk berdebat dengan Zamri berikutan kenyataan yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam seperti orang dirasuk atau mabuk.
Sebelum ini, Aaron Ago berkata sebarang bentuk perdebatan yang memfokuskan kepada perbezaan agama perlu dihentikan kerana ia boleh mencetus ketegangan dan mengeruhkan hubungan masyarakat berbilang agama di Malaysia.
Beliau turut berkata perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan atas kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat di negara ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Aaron rentetan daripada insiden penyampai radio dari Era FM yang didakwa menghina Hindu dengan menari dan membuat kelakar sambil melaungkan “vel, vel”.
Mereka bertiga kemudiannya telah memohon maaf digantung tugas manakala siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang berjalan.
Susulan itu Zamri memuat naik status berbunyu “sebut vel vel tidak lah sampai hilang nyawa orang tetapi apa yang berlaku di kuil Seafield itu pernah jadi penyebab nyawa Adib hilang.” – MalaysiaGazette