Norrul Huda Marsidin, 42, didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu bagi membekalkan perkhidmatan makanan dan minuman berjumlah RM6,640 empat tahun lalu.

MELAKA – Seorang Penolong Pegawai Jabatan Perangkaan Melaka didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu bagi membekalkan perkhidmatan makanan dan minuman berjumlah RM6,640 empat tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norrul Huda Marsidin, 42, sebaik tiga pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh dengan curangnya telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu tiga invois berbeza berjumlah RM6,640 bertarikh 22 November 2021 bagi perkhidmatan membekal makan dan minum untuk dua program di jabatan itu.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Perangkaan Negeri Melaka, Wisma Persekutuan, Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada November 2021.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Azrul Zulkifli Stork bagaimanapun merayu hukuman berbentuk denda tanpa pemenjaraan dengan alasan anak guamnya yang masih bekerja di jabatan sama perlu menanggung ibu dan adik selain menghidap penyakit anxiety disorder.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 atau lima bulan penjara bagi setiap pertuduhan jika gagal bayar.

Mahkamah turut memerintahkan tiga pertuduhan lain diambil pertimbangan selepas dipohon timbalan pendakwa raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here