BATU KAWAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menunggu siasatan polis selesai sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung kes seorang doktor pakar forensik di sebuah hospital di sini, yang didakwa berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja.
Pengarahnya, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata, pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“Selagi siasatan polis belum selesai, kita takkan buat apa-apa (tindakan dalaman) kita tunggu.
“Selain itu, saya juga belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi sama ada doktor berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Jelajah Mesra Bazar Ramadan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada doktor berkenaan akan digantung tugas atau direhatkan selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Fazilah berkata, perkara tersebut masih dalam pertimbangan dan bergantung kepada hasil siasatan yang dijalankan.
Media semalam melaporkan doktor pakar forensik hospital kerajaan yang direman kali kedua pada minggu lalu bagi membantu kes berkelakuan tidak senonoh dengan seorang pesakit wanita ditahan sekali lagi.
Penahanan reman doktor berusia 43 tahun itu berakhir pada 10 Mac namun dia ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) selepas mangsa ketiga membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, penahanan semula suspek itu dibuat untuk siasatan lanjut selain untuk melengkapkan kertas siasatan.
“Suspek ditahan semula susulan laporan polis ketiga yang kita terima namun tidak akan direman kali ketiga kerana penahanannya hanya untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette