Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika meninjau Pusat Pengoperasian PUSPAKOM di PUSPAKOM Wangsa Maju Inspection Center, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 11 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) tidak lagi membenarkan tempahan lebih dari satu slot bagi urusan pemeriksaan untuk menghalang eksploitasi orang tengah atau runner yang menjual slot mereka bagi meraih untung.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan sebelum ini terdapat individu yang membuat tempahan berganda dan kemudian menjualnya kepada pihak lain dengan harga tinggi.

“Sebagai contoh, ada kenderaan sebelum ini telah menempah empat slot pemeriksaan pada hari berkenaan menggunakan nombor pendaftaran yang sama namun kini hanya dibenarkan satu slot sahaja dibenarkan.

“Untuk mengatasi isu ini, PUSPAKOM juga akan menambah baik sistem tempahannya dengan membekukan slot pemeriksaan asal sekiranya pemilik kenderaan menunda tarikh pemeriksaan.

“Ini bertujuan mengelakkan slot tersebut daripada dipindahkan atau dijual kepada pihak lain yang tidak sepatutnya mendapat keutamaan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau pengoperasian PUSPAKOM Wangsa Maju hari ini.

Menurut Anthony, keputusan itu merupakan satu langkah yang telah dipersetujui dalam mesyuarat antara Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PUSPAKOM, dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Dalam pada itu, bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan tempoh menunggu pemeriksaan, PUSPAKOM juga akan meningkatkan kapasiti pemeriksaan harian daripada 13,500 kepada 15,500 kenderaan.

“Kementerian Pengangkutan juga akan memperkenalkan konsep deklarasi kendiri terhadap beberapa aspek pemeriksaan yang tidak melibatkan keselamatan, seperti tanda badan pada kenderaan, tanda had laju, kit bantuan kecemasan, nombor pendaftaran, dan keadaan tempat duduk penumpang bagi kenderaan perkhidmatan awam.

“Dengan pelaksanaan perubahan ini, kenderaan tidak lagi akan gagal pemeriksaan hanya kerana isu seperti ketidakteraturan teks alamat pada badan kenderaan, yang sebelum ini menjadi antara faktor kegagalan walaupun tidak membahayakan keselamatan jalan raya.

“Ini dijangka akan mempercepatkan proses pemeriksaan dan mengurangkan kes kegagalan yang tidak berkaitan dengan aspek keselamatan,” tambahnya.

Walaupun aspek ini tidak lagi diperiksa oleh PUSPAKOM, penguat kuasa masih berhak menjalankan pemeriksaan di jalan raya bagi memastikan pemilik kenderaan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Di mana sebarang ketidakpatuhan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

Selain itu, bagi memastikan kelancaran urusan pemeriksaan, PUSPAKOM akan melanjutkan waktu operasinya sepanjang bulan Mac.

Semua cawangan, kecuali di Langkawi dan Pekan akan beroperasi pada hari Sabtu dan selama 12 jam sehari iaitu bertambah empat jam daripada waktu operasi biasa sepanjang bulan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here