KUALA LUMPUR- EmpowerHer Career Fair yang bakal diadakan 14 dan 15 Mac ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menawarkan 5,000 peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat.

Karnival kerjaya anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut menawarkan jawatan tinggi seperti Pengurus Projek, Pengurus Perkhidmatan dan Konsultan Teknikal dengan gaji RM13,000 hingga RM16,000

EmpowerHer Career Fair ini memberi pendedahan kepada wanita berkaitan fleksibiliti dalam waktu bekerja, yang mana mereka dapat menyesuaikan jadual kerja mengikut keperluan dan situasi peribadi tanpa menjejaskan prestasi kerja.

“Menerusi susunan aturan kerja anjal (FWA), wanita akan lebih mudah mengimbangi komitmen antara kerja dan kehidupan peribadi mereka, sama ada untuk menjaga keluarga, mengejar pendidikan atau melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan,” kata PERKESO dalam satu kenyataan hari ini.

Antara majikan yang terlibat adalah Jabatan Peguam Negara, Malaysia Aviation Group (MAG), Air Asia, Airbus Helicopters Malaysia, Baker Hughes, IHH Healthcare Malaysia, UiTM Private Specialist Centre dan Robert Bosch Sdn. Bhd.

Lebih menarik, karnival kerjaya yang berlangsung selama dua hari ini turut memberi fokus kepada penyediaan peluang pekerjaan dengan susunan aturan kerja anjal (FWA) sebagai usaha menyokong penyertaan wanita dalam dunia kerjaya.

Selain itu, turut diadakan pemeriksaan kesihatan wanita dari Majlis Kanser Negara dan Sehati PERKESO, bimbingan kerjaya, pameran agensi kerajaan serta swasta dalam karnival kerjaya selama dua hari itu.

Untuk rekod, MYFutureJobs seliaan PERKESO telah melaksanakan sebanyak 169 Program Karnival termasuk Temuduga Harian dan Mingguan Khusus untuk Wanita sejak 2024 sehingga 21 Februari 2025, dengan 1,393 daripadanya telah berjaya mendapat tawaran pekerjaan termasuk menghadiri temuduga peringkat kedua.

Secara keseluruhan daripada 2020 sehingga 21 Februari 2025, seramai 575,238 pencari kerja dalam kalangan wanita telah berjaya ditawarkan pekerjaaan menerusi perkhidmatan MYFutureJobs.

Untuk keterangan lanjut, anda boleh layari laman web www.myfuturejobs.gov.my. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here