Exco Pemuda Amanah Nasional, Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan berbohong mengenai jumlah sebenar elaun bulanan mereka adalah tidak benar.

Exco Pemuda Amanah, Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin berkata, pendapatan seorang ahli Parlimen bukan sahaja mencecah RM30,000 malah boleh lebih tinggi sekiranya mereka menjalankan tanggungjawab dengan menghadiri sidang Parlimen dan mesyuarat rasmi.

“Kalau anda tidak ponteng Parlimen, pendapatan MP memang boleh cecah RM30,000 atau lebih sebulan dan tidaklah jatuh muflis pun seperti yang dakwaan beberapa ahli Parlimen yang kononnya hampir muflis akibat pemotongan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

“Maka, rajin-rajinlah ke Parlimen dan laksanakan tugas-tugas rasmi tersebut,” katanya yang dikenali Dr. Nash dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang Ahli Parlimen biasa menerima gaji asas serta pelbagai elaun tambahan seperti elaun keraian, elaun perjalanan, elaun pemandu, elaun bahan api dan elaun khas bagi ahli Parlimen bukan anggota pentadbiran.

Selain itu, kehadiran mereka ke sidang Parlimen dan mesyuarat jawatankuasa turut memberi tambahan pendapatan di mana pendapatan mereka boleh mencecah RM35,700 jika hadir secara penuh.

“Masalahnya sikap malas ahli Parlimen pembangkang dan ditambah tidak efektif dalam menjalankan semak imbang terhadap polisi dan dasar kerajaan dalam sidang parlimen, saya amat bersetuju peruntukan ahli parlimen pembangkang ini tidak perlu diberikan.

“Lebih baik peruntukan tersebut terus diberikan kepada rakyat menggunakan saluran lain atau tunjukkan komitmen ada di parlimen dahulu sebelum tuntut itu dan ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here