KUALA LUMPUR – Jumlah kompaun yang dikenakan terhadap Maestra Broadcast Sdn Bhd (MBSB) sebanyak RM250,000 berbeza dengan denda RM10,000 yang dikenakan terhadap individu seperti Harith Iskander dan Cecilia Yap.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, faktor utama dalam perbezaan jumlah kompaun adalah status entiti yang terlibat.
“MBSB adalah sebuah syarikat berpendapatan tinggi dan pemegang lesen MCMC, manakala Harith Iskander dan Cecilia Yap adalah individu.
“Sebagai pemegang lesen, terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi oleh syarikat tersebut. Malangnya, mereka membenarkan satu kandungan yang mencetuskan kegusaran umum dimuat naik dalam akaun rasmi TikTok salah satu radio mereka.
“Oleh itu, jumlah kompaun yang dikenakan terhadap MBSB tidak boleh dibandingkan secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Pengamal Media di Angkasapuri, di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, dalam kes KK Mart yang dikenakan denda RM60,000 di bawah Kanun Keseksaan juga berbeza kerana ia tidak melibatkan kandungan dalam talian atau pelanggaran peraturan pemegang lesen MCMC.
Dalam isu yang membabitkan DJ Era, Fahmi menegaskan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap mereka.
“Saya ada bercakap dengan mereka kerana saya mendapati ada tekanan besar yang mereka hadapi.
“Memang mereka adalah selebriti yang sentiasa dalam perhatian umum, tetapi saya minta mereka bersabar dan bertenang kerana kita tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mereka,” jelasnya.
Beliau mengesahkan bahawa tiada penggantungan lesen terhadap MBSB dan pihak syarikat boleh mengemukakan rayuan jika tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Sementara itu, Fahmi menyatakan beberapa individu yang terlibat dalam kontroversi ini telah memohon maaf, termasuk seorang individu yang kini dipercayai berada di Australia.
“Kita perlu mengambil pengajaran dan melangkah ke hadapan dalam suasana yang lebih positif, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” tambahnya.
Berkenaan tempoh siasatan yang dijalankan oleh MCMC terhadap individu yang didakwa memuat naik semula kandungan yang telah dipadam, Fahmi menyatakan bahawa ia bergantung kepada hasil siasatan.
“Kadang-kadang agak cepat, kadang-kadang agak lama,” katanya. – MalaysiaGazette