Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia sah dan komited untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dan sedang dalam proses akhir untuk memuktamadkan kontrak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menjelaskan bahawa kerajaan kini berada dalam fasa akhir perbincangan sebelum kontrak tersebut ditandatangani secara rasmi.

“Kontrak itu sudah disahkan, cuma masih dalam proses dimuktamadkan. Apabila sudah ditandatangani, kita akan umumkan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi PUSPAKOM Wangsa Maju, hari ini.

Dalam masa yang sama, Anthony menasihatkan orang ramai agar tidak bimbang dengan status pencarian kerana kerajaan tetap komited untuk meneruskan usaha mencari pesawat yang hilang sejak 2014 itu.

Sebelum ini, syarikat Ocean Infinity dari Amerika Syarikat telah menawarkan untuk meneruskan pencarian MH370 dengan menggunakan teknologi terkini yang lebih canggih.

Kerajaan Malaysia juga telah mengadakan perbincangan dengan syarikat berkenaan bagi memastikan misi pencarian kali ini lebih berkesan dan membuahkan hasil.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang serta anak kapal hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Tragedi ini kekal sebagai salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden, dengan pelbagai teori dan usaha pencarian yang masih belum menemukan jawapan yang pasti.

Sebelum ini, beberapa serpihan pesawat yang dipercayai milik MH370 telah ditemui di beberapa lokasi seperti Pulau Reunion, Mozambique, dan Madagascar, namun lokasi sebenar pesawat masih tidak dapat dipastikan.

Dengan teknologi pencarian yang lebih maju, diharapkan usaha baharu ini dapat memberikan petunjuk yang lebih jelas mengenai nasib pesawat tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here