UMAT Islam di seluruh dunia telah menyambut Ramadan 1446 dengan pelbagai persiapan dan tradisi. Bagi rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak terlepas menyambut ketibaan Ramadan dengan rasa penuh syukur. Lumrahnya yang menggerakkan takwim Ramadan ialah pengurusan masjid.
Penulis yakin pihak pengurusan masjid telah pun menyusun pelbagai aktiviti sepanjang bulan keampunan ini seperti barisan penceramah jemputan, aktiviti tadarus, kuliah zohor, lantikan imam-imam bertugas solat terawih dan iftar sepanjang Ramadan. Walau bagaimanapun, pengurusan masjid wajar mengambil inisiatif yang lebih drastik untuk mengoptimumkan pengimarahan dengan aktiviti al-Quran khusus dalam bulan Ramadan ini.
Ramadan adalah bulan yang diturunkan padanya Kitab al-Quran. Antara program yang jarang dilakukan ialah bertalaqqi al-Quran. Ia dilaksanakan dengan menyemak bacaan seorang yang diketuai oleh individu yang mahir dalam bidang al-Quran terutama hal berkaitan tajwid. Bukan sekadar tadarus beramai-ramai. Walaupun tiada halangan tadarus beramai-ramai tetapi impak pembacaan secara individu mungkin berbeza malah lebih berfokus dan kualiti penyebutan makhraj akan diteliti lebih mendalam.
Talaqqi yang terbaik dilakukan antara seorang dengan seorang dan ini mengambil sunnah Rasulullah SAW bertalaqqi dengan malaikat Jibril pada bulan Ramadan. Sebagaimana hadis daripada Fatimah r.ha berkata, Rasulullah SAW telah berbisik kepadaku: “Jibril membacakan al-Quran kepadaku setiap tahun sekali dan sesungguhnya Jibril membacakan al-Quran kepadaku pada tahun ini sebanyak dua kali. Aku tidak melihatnya melainkan isyarat bahawa ajalku telah datang”. Hadis riwayat al-Bukhari.
Dalam hadis ini, amalan talaqqi Rasulullah SAW dengan malaikat Jibril dilakukan setiap tahun. Hal ini membawa kepada penjelasan bahawa al-Quran perlu dipelajari secara bertalaqqi atau berguru dengan mereka yang mahir. Kumpulan tadarus yang lazim dipraktikkan dalam masyarakat wajar ditambahbaik. Antara kekurangan kumpulan tadarus yang dijalankan ialah pembahagian kumpulan yang terdiri daripada peserta seramai sepuluh hingga lima belas orang tetapi tiada seorang pun dalam ahli halaqah tersebut yang benar-benar mahir dalam tajwid.
Langkah yang mudah ialah pihak masjid atau surau mengambil inisiatif senaraikan nama-nama ketua talaqqi atau ketua tadarus. Kemudian mengagihkan nama-nama peserta mengikut kumpulan atau mungkin ada yang ingin talaqqi secara individu. Penulis juga yakin setiap mukim mempunyai ramai guru agama yang mempunyai latarbelakang pendidikan al-Quran secara formal apatah lagi yang mempunyai tauliah mengajar di peringkat negeri atau daerah.
Hadis Rasulullah SAW ini juga ada menyentuh tentang pelajari al-Quran dengan mereka yang ahlinya sebagaimana salah satu maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah SAW bersabda “Pelajari bacaan al-Quran daripada (mana-mana) empat orang iaitu ‘Abdullah bin Mas‘ud, Salim hamba kepada Abu Huzaifa, Ubai bin Ka‘ab dan Mu‘az bin Jabal”.
Berdasarkan hadis ini jelas menyatakan Rasulullah SAW mengiktiraf bacaan para sahabat-sahabat Baginda dan menyarankan supaya mengambil bacaan menerusi mereka yang telah diiktiraf keahliannya. Oleh itu tuntutan mempelajari bidang al-Quran melalui mereka yang ahli dalam bidang merupakan suatu sunnah dalam Islam.
Walaupun membaca al-Quran secara berseorangan atau berkumpulan itu baik dan amalan terpuji namun menyemak bacaan kepada orang lain itu adalah lebih dipuji sebagaimana talaqqi Rasulullah SAW dengan Jibril. Apatah lagi ia dilakukan pada bulan Ramadan.
Dalam hal ini, ramai antara kita memahami bahawa menggandakan ibadah dalam bulan Ramadan adalah suatu tuntutan namun hanya segelintir yang ingin bermuhasabah. Dalam ertikata untuk menambah kualiti ibadah seperti memperbaiki kualiti membaca al-Quran. Bukan lagi seperti tahun-tahun lalu. Tadarus al-Quran tidak wajar hanya menjadi tempelan acara tahunan sepanjang Ramadan di masjid-masjid atau di surau-surau. Mungkin agak sukar untuk membuat perubahan apatah lagi kebiasaan dan kesukaran menghimpunkan ahli al-Quran yang boleh memberi komitmen.
Pengurusan masjid yang kreatif akan mengambil langkah-langkah positif seperti bekerjasama dengan Jabatan Agama atau Majlis Agama atau pejabat Agama daerah masing-masing. Penulis juga percaya senarai penerima tauliah mengajar al-Quran sangat mudah dikongsikan oleh institusi agama yang disebutkan tadi sekiranya ada jaringan yang aktif. Malah lebih baik lagi apabila pihak pengurusan masjid tidak lokek untuk salurkan sedikit sumbangan kepada guru-guru al-Quran tersebut menggunakan dana kutipan tabung Ramadan.
Percayalah, ramai guru-guru al-Quran bertauliah di kampung khususnya masih tidak ada medium mengajar al-Quran di masjid-masjid. Mereka tidak sebaris dengan para penceramah atau asatizah yang lebih popular, tiada sijil atau ijazah dari Institusi Pengajian Tinggi namun guru-guru al-Quran ini telah diiktiraf kemahiran mereka dalam bidang al-Quran oleh Jabatan Agama yang menganugerahkan tauliah secara sah. Pengiktirafan mereka oleh pengurusan masjid pada bulan Ramadan dengan melantik secara beramai-ramai sebagai ketua halaqah al-Quran sangat jarang dipraktikkan.
Ibarat kata pepatah “yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang”. Walaupun hasrat untuk menjadikan aktiviti talaqqi pada bulan Ramadan agak janggal namun melalui kepakaran barisan jawatankuasa masjid yang terdiri dari pelbagai peringkat hal ini mudah dilaksanakan.
Dengan izin Allah, masjid akan menjadi pusat yang aktif dalam pengajian al-Quran dan pembacaan al-Quran bukan sahaja pada bulan Ramadan. Bahkan masjid akan terus menjadi nadi menggerakkan program talaqqi dan tadarus dengan metod yang lebih memberi impak kepada setiap individu yang memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran.