Insiden serangan dan letupan bom di Sungai Golok, Narathiwat pada 8 Mac 2025

BANGKOK- Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menggesa rundingan damai di Selatan Thailand disemak semula, dengan menekankan keperluan agar proses dialog disertai wakil yang benar-benar sah.

Bercakap mengenai peningkatan keganasan sepanjang Ramadan, Phumthamy yang juga Menteri Pertahanan berkata siri serangan yang berlaku menimbulkan persoalan sama ada pihak yang terlibat dalam dialog tersebut mempunyai kuasa penuh untuk mewakili kumpulan pemberontak.

Beliau berkata terdapat kebimbangan mengenai keberkesanan rundingan dalam mencari penyelesaian.

Tambahnya, perbincangan tidak rasmi akan diteruskan bagi mengesahkan kesahihan pihak yang terlibat.

Phumtham menegaskan komitmen kerajaan terhadap proses damai, dengan menyatakan bahawa pemberhentian keganasan menunjukkan kesediaan untuk meneruskan rundingan bagi menyelesaikan konflik.

“Dalam apa jua konflik, keganasan mesti dihentikan untuk membolehkan rundingan berjalan. Kami juga sedang berusaha untuk melibatkan kumpulan lain dalam dialog ini,” katanya.

Menjawab soalan mengenai nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Malaysia berikutan insiden keganasan di wilayah selatan, beliau berkata bahawa amaran sebegini adalah amalan biasa dan pihak berkuasa Malaysia memahami sepenuhnya kerumitan situasi tersebut.

Ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra sebelum ini, yang mengatakan bahawa keadaan di wilayah bergolak itu boleh bertambah baik dalam tempoh setahun, Phumtham berkata kerajaan akan terus berusaha ke arah keamanan dan akan menilai hasilnya selepas setahun.

Thaksin, dalam kapasiti sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, telah melawat wilayah selatan Thailand bulan lalu dan menyuarakan keyakinan terhadap perkembangan positif tahun ini.

Beliau juga meminta maaf atas insiden pembunuhan beramai-ramai di Tak Bai, Narathiwat pada tahun 2004, yang berlaku semasa beliau menjadi perdana menteri.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul pada Isnin mengadakan persidangan video bersama gabenor dari lima wilayah selatan untuk memastikan kawalan keselamatan diperketatkan selepas pemberontak melancarkan serangan terhadap pejabat daerah Sungai Kolok, Narathiwat pada Sabtu malam. Mereka melemparkan bahan letupan dan melepaskan tembakan ke arah sukarelawan keselamatan sebelum melarikan diri.

Pemberontak turut meletupkan bahan letupan yang disembunyikan dalam sebuah kereta dan motosikal yang diparkir di luar kawasan pejabat bagi menghalang pihak berkuasa daripada mengejar mereka.

Mengulas mengenai serangan itu, Anutin berkata bahawa sukarelawan keselamatan kemungkinan menjadi sasaran kerana hubungan rapat mereka dengan penduduk tempatan. Beliau menjelaskan bahawa sukarelawan pertahanan kebanyakannya direkrut daripada kalangan pembantu ketua kampung yang telah menerima latihan berkaitan hubungan masyarakat dan pemantauan keselamatan.

Anutin turut menyatakan bahawa beberapa agensi akan mengadakan mesyuarat keselamatan lanjut untuk menilai keadaan dan berjanji memberikan sokongan penuh kepada Phumtham dalam menangani situasi tersebut.

Pihak berkuasa keselamatan di selatan Thailand kini berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Pegawai di daerah Muang, Yala, melaporkan penemuan tiga objek mencurigakan pada pagi Isnin, manakala seorang sukarelawan pertahanan ditembak mati oleh sekumpulan penyerang yang tidak dikenali di daerah Krong Pinang.- Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast