JASIN – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin sudah mengambil sampel nasi kerabu yang dijual daripada dua peniaga Bazar Ramadan Jasin Bestari, Melaka semalam.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ruzita Mustaffa berkata, tindakan itu susulan laporan media mengenai dakwaan pelanggan terdapat peniaga menjual nasi kerabu yang sudah berulat dipercayai berlaku di bazar berkenaan.

“Hasil pemeriksaan terdapat dua peniaga menjual nasi kerabu secara terbuka yang boleh menimbulkan risiko berlaku pencemaran jadi kita telah ambil sampel kedua-dua gerai untuk ujian makmal.
“Tidak dapat pastikan gerai manakah terlibat dalam kes nasi kerabu berulat itu kerana pengadu masih belum dapat dihubungi untuk maklumat lanjut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Semalam, portal ini melaporkan tular kejadian seorang pelanggan membeli nasi kerabu yang sudah berulat dipercayai dibeli dari Bazar Ramadan Jasin Bestari.

Melalui perkongsian di FB Geng Bandar Jasin Bestari, individu yang enggan dikenali itu turut memuat naik video berdurasi lapan saat membuktikan dakwaannya itu bertarikh, Ahad, 9 Mac.
Mengulas lanjut, Dr Ruzita berkata, operasi semalam turut disertai pegawai dari Majlis Perbandaran Jasin.
“Kita turut memeriksa 107 pengendali makanan dan 102 daripadanya telah mendapat suntukan Tifoid manakala 64 sudah mengikuti Kursus Pengendali Makanan.
“Diharapkan semua peniaga dapat mengutamakan kebersihan diri dan makanan bagi mengelak berlaku keracunan kepada pengguna,” katanya.

Tambahnya, beliau juga berharap kepada orang ramai supaya membantu pihak berkuasa menyalurkan maklumat tepat bagi memudahkan siasatan seterusnya tindakan sewajarnya dapat dikenakan terhadap peniaga terbabit.
“Sebarang aduan kebersihan premis makanan boleh disalurkan melalui nombor Whatsapp 012-8484378,” katanya.