KUALA LUMPUR – Tempoh operasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Wangsa Maju yang sepatutnya ditutup pada Jun tahun ini akan dilanjutkan sehingga 30 Jun tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tempoh lanjutan ini diperlukan kerana fasiliti baharu PUSPAKOM Wangsa Maju yang terletak di Bukit Beruntung masih dalam proses pembinaan.
“Pemindahan PUSPAKOM Wangsa Maju ini telah lama dibincangkan sejak awal saya dilantik sebagai menteri kerana laluan masuk ke sini agak sempit dan ini turut menempatkan banyak sekolah.
“Saya menerima banyak aduan daripada guru dan ibu bapa yang menghadapi kesulitan akibat kesesakan lalu lintas, disebabkan barisan panjang lori yang menunggu giliran pemeriksaan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi PUSPAKOM Wangsa Maju di sini hari ini.
Bagi mengatasi masalah kesesakan sementara menunggu fasiliti baharu siap, kementerian telah merancang untuk membangunkan semula kawasan sedia ada dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Bagaimanapun, proses tender bagi projek tersebut masih dalam peringkat permohonan cadangan (RFP) dan belum diserahkan kepada mana-mana pihak.
Anthony turut memaklumkan lebih banyak lokasi pemeriksaan kenderaan akan disediakan bermula tahun depan bagi mengurangkan kebergantungan kepada PUSPAKOM Wangsa Maju sebelum pemindahannya ke Bukit Beruntung tahun 2026. – MalaysiaGazette