KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 48 kertas siasatan terhadap premis pengilang dan pembungkus yang disyaki mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, ia hasil daripada penguatkuasaan Ops Campur yang dilaksanakan sejak semalam.
Jelasnya, sebanyak 213 premis diperiksa pada hari pertama operasi tersebut.
“Nilai rampasan sampel yang direkodkan ialah sebanyak RM15,321.40. Sitaan ini bertujuan sebagai pensampelan dan penentuan kuantiti yang akan dikemukakan ke Jabatan Kimia Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI),” katanya menerusi kenyataan.
Sebagai rekod, KPDN melancarkan Ops Campur susulan pendedahan Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, MARDI mengenai 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang dirampas pihak berkuasa telah dicampur beras putih tempatan.
Sehubungan itu, operasi berkenaan merupakan inisiatif kementerian itu bagi memastikan aktiviti percampuran beras tersebut dapat dibanteras.
Menurut Azman, individu yang didapati bersalah di Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak lebih tahun atau kedua-duanaya.
Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
“(Bagi) syarikat, denda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000,” katanya. – MalaysiaGazette