Gambar hiasan

PASIR GUDANG – Seorang pemandu Grab berputih mata selepas rugi RM147,604 akibat terpedaya tawaran pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun membuat laporan kejadian tersebut pada 8 Mac lalu.

“Kejadian bermula pada 20 Oktober tahun lalu apabila mangsa melihat iklan pelaburan mata wang kripto dalam Facebook sebelum tertarik dengan tawaran pulangan berganda dalam tempoh singkat.

“Mangsa kemudian mengikuti pautan yang diberikan dan mula membuat transaksi ke dalam lapan akaun bank berbeza bermula 22 November 2024 hingga 6 Januari 2025 dengan jumlah keseluruhan RM147,604,” katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

Menurutnya, selepas membuat beberapa bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal mendapatkan semula wang pelaburannya.

Ujar beliau, siasatan awal mendapati tujuh daripada lapan akaun bank yang terlibat mempunyai 27 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan.

Kes ujarnya, disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

“Pastikan pelaburan yang dibuat sah melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan lakukan semakan menggunakan portal Semak Mule bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” tegasnya.

Tambah beliau, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak berkongsi maklumat perbankan dengan individu tidak dikenali dan segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here