PEKAN – Kejadian mendapan jalan seluas hampir lima meter di FT 0082, Jalan Batu Balik-Pekan di Kampung Ayer Hitam di sini menimbulkan kegusaran penduduk dan pengguna jalan raya itu.
Manakan tidak, kejadian di jalan utama Paloh Hinai ke Chini sepanjang lima meter itu terletak berhampiran selekoh dan rumah penduduk kampung.
Seorang penduduk, Burhanuddin Ab Talib, 60, berkata, kejadian itu dilaporkan seorang penduduk kampung itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada 7 Februari lalu.

“Sebelum ini berlaku mendapan kecil tapi sudah dikambus pihak Roadcare tapi sekarang ia jadi semakin besar dan nampak membahayakan, itu yang tutup terus ini.
“Macam kita tengok hari ini laluan ini sibuk. Laluan ini dari Paloh Hinai boleh ke Chini dan ke Chenor. Memang kenderaan lalu banyak. Satu lagi laluan ni berselekoh, jadi amat berbahaya kalau kenderaan berselisih,” katanya ketika ditemui hari ini.
Tambah Burhanuddin yang mesara disapa ‘Che Long’, situasi dilihat berisiko menjadi lebih merbahaya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti apabila perantau warga kota yang tidak biasa dengan laluan tersebut melaluinya.
Seorang lagi penduduk, Sarip Kassim, 55, turut menyuarakan kebimbangannya ketika melalui jalan itu menaiki motosikal, lebih-lebih lagi ketika waktu malam dan awal pagi.

“Hari-hari saya lalu jalan ini pergi menoreh. Bahaya lubang ni. Kalau malam kadang-kadang motosikal lampu pun tak berapa nampak. Kalau berselisih pun kadang-kadang bahaya sebab kereta laju. Kita perlahan.
“Bimbang juga, makin lama makin besar lubang tu. Baikilah kalau boleh. Budak-budak sekolah pun selalu lalu jalan ni. Lori besar lalu, bahaya,” katanya.
Bagi Che Puteh Othman, 45, yang mempunyai premis kedai runcit terletak bersebelahan jalan di situ juga meluahkan khuatir setiap kali terdengar bunyi kuat brek kereta atau lori memperlahankan kenderaan.
Meskipun belum berlaku kejadian tidak diingini seperti kenderaan terbabas ke kedainya namun dia tetap berasa risau.

“Saya bimbang sebab kurang 20 meter jalan tu daripada kedai. Cemas juga kadang-kadang apabila kereta laju di selekoh tu,” jelasnya.
Sementara itu, Hasnah Ibrahim, 67, pula memberitahu, jalan rosak itu kerap mengakibatkan kemalangan, malah binaan parkir kereta di rumahnya yang terletak berhampiran jalan itu juga pernah roboh akibat dirempuh kereta yang terbabas.
“Depan kawasan selekoh tu sudah empat buah motosikal yang kemalangan termasuk lah kejadian kemalangan kereta pagi tadi. Memang sini kawasan kemalangan sentiasa berlaku sebab kereta memang laju sini. Tak kira pagi atau petang,” tambahnya.

Oleh sebab itu, kesemua mereka mengharapkan agar pihak bertanggungjawab dapat menyegerakan pembaikan jalan yang mendap itu.
MalaysiaGazette turut mendapatkan maklum balas daripada Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berhubung perkara itu.
Razali berkata, tindakan segera telah diambil sejak laporan berhubung kejadian membabitkan jalan persekutuan itu diterima di mana beberapa siri perbincangan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Pekan telah dilaksanakan.
“Pada 12 Februari, pihak Roadcare dan JKR Pekan bersetuju untuk menjalankan kaedah pembaikan terbaik selepas perbincangan itu dan kemukakan permohonan kepada JKR Pahang pada 26 Februari,” katanya. – MalaysiaGazette