Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kenderaan berat yang perlu menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) semasa waktu puncak akan dikecualikan daripada larangan penggunaan lebuh raya.

Namun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemilik kenderaan berat perlu menunjukkan slip tempahan pemeriksaan PUSPAKOM kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan pengecualian tersebut.

Keputusan iitudibuat susulan peluasan larangan pergerakan kenderaan berat pada waktu puncak, yang berkuat kuasa sejak 19 Februari lalu, melibatkan lebuh raya terpilih seperti diumumkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Saya dimaklumkan bahawa kenderaan berat yang mempunyai tempahan di PUSPAKOM terpaksa berkumpul lebih awal kerana tidak dibenarkan berada di lebuh raya dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi serta 4.30 petang hingga 7.30 petang menyebabkan kesesakan di pusat pemeriksaan.

“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah berbincang dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan LLM bagi mempertimbangkan pengecualian ini,” katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi PUSPAKOM di Wangsa Maju.

Walaupun diberi kebenaran menggunakan lebuh raya, pemilik kenderaan perdagangan dinasihatkan merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif yang disarankan oleh LLM bagi mengurangkan kesesakan.

Sebelum ini, larangan pergerakan kenderaan berat pada waktu puncak diperluaskan kepada beberapa lebuh raya utama di Lembah Klang, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Larangan ini telah melibatkan kenderaan motor kelas dua, iaitu kenderaan dengan dua gandar dan enam roda, kecuali bas.

Selain itu, kenderaan kelas tiga yang mempunyai tiga gandar atau lebih, juga dilarang kecuali bas.

Dalam perkembangan lain, Anthony turut mengumumkan bahawa PUSPAKOM telah melanjutkan tempoh pemeriksaan berkala kenderaan perdagangan daripada 14 hari kepada 30 hari sebelum tarikh tamat Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Penambahbaikan ini memudahkan pemilik kenderaan merancang pemeriksaan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan untuk mendapatkan slot pemeriksaan.

“Ia tidak akan menjejaskan tempoh sah LKM atau menyebabkan kerugian kepada pemilik kenderaan.

“Tempoh sah LKM yang seterusnya tetap dikira berdasarkan tarikh tamat LKM sebelumnya walaupun pemeriksaan dilakukan lebih awal,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here