KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, Barisan Nasional tiada masalah untuk menentang calon Pas sekali lagi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April depan.
Beliau yang dijuga Ahli Parlimen Tapah berkata, ini kerana BN pernah berlawan dengan parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) itu dan memenangi DUN tersebut.
Namun bekas menteri Kabinet itu menegaskan, BN masih perlu bekerja keras dan mengambil pendekatan sebagai underdog pada PRK itu nanti dan tidak boleh memandang rendah calon dari Pas.
“Sebelum ini kita pernah bertanding melawan Pas dan tiada masalah walaupun saya tidak pandang rendah kekuatan Pas di Tapah kita ada kelebihan kita. Tetapi kita masih kerja sebagai underdog kerana kita menang besar tidak bermakna kita rehat dan lihat pengundi India tidak akan lari daripada BN.
“Jentera pilihan raya Parlimen Tapah mula bergerak sejak minggu lepas di mana kita telah mula berjumpa dengan pengundi-pengundi khusus menjelang musim perayaan ini. Kita yakin daripada sambutan yang kita dapat, kita yakin BN akan kekalkan DUN Ayer Kuning dengan majoriti lebih besar daripada sebelum ini.
“Aktiviti-aktiviti diadakan di kawasan perumahan dengan pengundi dan beri bantuan sepatuntnya serta bukan sebab PRK. Kalau kita lihat Parlimen Tapah, satu-satunya Parlimen yang tidak pernah kalah empat penggal. Maka hubungan kami dengan pengundi intim dan sentiasa adakan perjumpaan sekiranya ada masalah baharu untuk selesaikan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
SPR menetapkan hari pengundian PRK DUN Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan di mana tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.
Sementara itu, PN mempertaruhkan calon Pas kerana parti itu menyasarkan kerusi DUN berkenaan sebelum ini.