Lelaki warga asing maut berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Machang Bubok, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki warga asing yang aktif dalam pengedaran senjata api dan dadah maut selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, ketika sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri melakukan rondaan pukul 2.20 pagi telah terserempak dengan suspek berusia 30-an yang sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda 115ZT dalam keadaan mencurigakan.

Polis mengarahkan suspek memberhentikan motosikalnya bagi pemeriksaan namun suspek bertindak memecut laju sebelum melepaskan beberapa tembakan ke arah pasukan polis sebaik sahaja memintas kenderaannya.

“Demi mempertahankan diri pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan terhadap suspek sebelum dia rebah.

Pihak polis dan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Sebaik mendapati tiada ancaman, anggota melakukan pemeriksaan dan mendapati suspek sudah tidak bergerak susulan itu kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan suspek maut di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis glock serta sejumlah dadah jenis heroin dalam milikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Hamzah, mayat suspek dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 8 Akta Senjatapi Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MalaysiaGazette difahamkan, suspek merupakan ahli sindiket yang aktif dalam pengedaran dadah serta senjata api di negeri ini sejak pertengahan tahun lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here