SHAH ALAM – Tekanan ekonomi dalam kehidupan di bandar antara faktor penyumbang utama kepada peningkatan jumlah golongan wanita yang kembali ke dunia pekerjaan sehingga mencecah 69.7 peratus di Selangor setakat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peratusan itu jauh berbeza dengan penglibatan wanita dalam kepimpinan setiap lapisan pentadbiran yang masih belum mencapai 30 peratus seperti mana standard antarabangsa.
“Tapi dalam pekerjaan, kita sudah mengatasi, sekarang pun kita telah mencapai 69.7 peratus, itu angka terkini.
“Sebahagiannya disumbang oleh tekanan ekonomi di bandar sebab keperluan kedua-dua pasangan bekerja itu semakin tinggi dalam kehidupan di bandar,” katanya pada sidang media selepas berucap pada Konvensyen Wanita MyWira 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.
Amirudin berkata, Selangor boleh berbangga kerana dalam sektor pekerjaan, penglibatan wanita berjaya mengatasi kuota antarabangsa dalam sektor kepimpinan.
“Saya rasa 30 peratus ini standard antarabangsa, tetapi ini dalam bidang pekerjaan, dari bidang kepimpinan dan sebagainya masih lagi kecil, kita belum lagi mencapai sepenuhnya, ahli majlis kita sekitar 27 atau 26 peratus, belum sampai 30 peratus.
“Ketua kampung masih lagi pada standard yang lama dan kedudukan ketua-ketua kampung masih rendah atau kecil.
“Yang saya sebut 30 peratus itu standard antarabangsa, kita hormati, tapi itu kita kena ambil sedikit lagi masa kerana ia melibatkan struktur masyarakat yang lebih luas,” katanya.
Katanya, pencapaian penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan jauh mengatasi kepimpinan kerana ia tidak bergantung kepada sikap dan penghormatan sahaja.
“Kita kena tengok juga kualiti kedudukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengurus atau ketua jabatan, hal ini melibatkan pertukaran minda yang besar,” katanya.
Ketika ditanya tentang sektor pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi, Amirudin berkata, sumber manusia dan perkilangan merupakan penyumbang kepada peningkatan penglibatan golongan wanita di Selangor.
“Kebanyakan wanita terlibat dalam sektor sumber manusia, pembuatan dan perkhidmatan. Ini tiga sektor yang masih penting.
“Cuma sektor kritikal masih lagi kurang (penglibatan wanita). Kalau sektor pendidikan sebagai tenaga pengajar, isu sangat sinonim dengan wanita.
“Sektor kejuruteraan, kita masih memerlukan penglibatan wanita, bila kita buat Pameran Penerbangan Selangor 2024, kita beri penghargaan kepada jurutera wanita yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette