Tiga lelaki tempatan yang aktif dalam pengedaran dadah sejak awal tahun ini ditahan sekitar Bayan Lepas, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak awal tahun ini selepas menahan tiga lelaki menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Bayan Lepas.

Serbuan bermula jam 2 petang semalam hingga 1 pagi tadi itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah serta sitaan harta bernilai RM65,866.

Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil serbuan, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM57,326 termasuk lima ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 5,002 gram bernilai RM15,500 serta 19 paket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat 777 gram bernilai RM25,641.

“Kita turut merampas tujuh batang rokok mengandungi campuran tembakau dan daun kering disyaki dadah jenis Mushroom seberat 7.45 gram bernilai RM175 serta 10 aluminium foil berisi pil Erimin 5 seberat 560 gram (2,000 biji) bernilai RM16,000.

“Turut dirampas dua bungkusan plastik berisi cecair disyaki air ketum seberat 500 ml bernilai RM10,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Antara dadah yang dirampas pihak polis dalam serbuan tersebut.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, di mana polis telah menyita harta bernilai RM8,540 termasuk dua buah motosikal bernilai RM7,200 dan wang tunai RM1,340.

Jelas beliau, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dalam operasi ini berjumlah RM65,866 manakala jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 66,000 penagih.

“Semakan lanjut mendapati tiga suspek tempatan berusia antara 26 hingga 29 tahun itu aktif dalam pengedaran dadah sejak awal tahun ini.

“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala seorang lagi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 Mac depan bagi membantu siasatan dan kes siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast