Datuk N Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Majlis Kuil-Kuil Hindu & Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima) mahu individu gemar meninggalkan komen berbaur perkauman atau sensitiviti agama di media sosial dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.

Kata Presiden Mahima, Datuk N Sivakumar, sebarang hantaran melanggar batasan sensitiviti agama atau perkauman tidak boleh dibiarkan.

“Sesiapa pun boleh memaafkan sesiapa sahaja. Itu adalah sikap berperikemanusiaan tetapi tindakan tetap perlu diambil terhadap individu yang melampaui batas.

“Isu rakaman video yang tular baru-baru ini mempersendakan agama Hindu dengan laungan ‘Vel, Vel’  telah mencetuskan kemarahan dan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat malah ia menjadi buruk apabila ada pihak sengaja mengungkit isu-isu lama sekali gus membakar semangat perkauman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Sivakumar, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka yang melanggar peraturan termasuk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Mahima cukup berterima kasih kepada kerajaan MADANI dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kerana bertindak pantas dalam menangani isu ini.

“Ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu ini secara adil dan saksama. Setiap tindakan yang melanggar batasan perlu dibetulkan,” ujarnya.

Baru-baru ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan pihaknya telah menerima 150 laporan berhubung beberapa kes menghina agama, termasuk membabitkan seorang pendakwah dan seorang penyampai radio.

Dalam pada itu, Sivakumar turut mencadangkan agar pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan MCMC membangunkan aplikasi khas untuk mengesan komen-komen berbaur perkauman, lucah atau menghina 3R.

“Salah satu cadangan adalah aplikasi telefon bimbit yang mudah diakses boleh membantu merekod isu ini dengan lebih efisien dan efektif,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here