KUALA LUMPUR – Dianggarkan 42 khemah peniaga Bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini musnah selepas hujan lebat beserta angin kuat melanda ibu negara petang tadi.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.10 petang.
Seorang peniaga yang dikenali sebagai Roslina memberitahu, kejadian itu menimpa penjaja yang berniaga di petak 33 hingga 56 – tapak yang berada di tengah-tengah antara khemah-khemah lain.
“Tiada apa yang boleh diselamatkan, khemah runtuh, meja jatuh, barangan jualan habis semuanya. Memang kami yang terlibat alami total lost hari ini.
“Yang meniaga makanan tidak ada apa boleh diselamatkan. Yang berniaga barang pun sama,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau yang cukup kecewa dengan kejadian ini mendakwa, situasi ini mungkin boleh dielakkan jika Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendengar suara penjaja.
Jelasnya, susun atur khemah yang diletakkan secara ‘back to back’ memang akan memberi risiko kepada penjaja kerana tapak lokasi bazar ini adalah laluan angin.
“Kalau hujan memang boleh jangka berlaku macam ni. Tempat sebesar ini, letak pulak khemah begini.
“Kami sudah suarakan hal ini kepada DBKL tapi tak nak dengar, tengoklah apa jadi sekarang,” luahnya lagi.
Sementara itu, Fikri yang juga menjaja di bazar ini mendakwa, khemah dan kaki besi yang nipis punca khemah tidak dapat diselamatkan apabila berlaku ribut dan hujan lebat.
“Khemah yang diberi tidak ada tali untuk diikat, jadi bila hujan lebat, angin memang khemah patah, kanvas pun koyak semuanya,” tambah beliau.
Fikri turut mendakwa susun atur khemah yang ‘back to back’ punca kejadian ini berlaku.
“Memang hujan, angin tidak dapat dijangka, tetapi cara susun atur tapak yang terkepung menyukarkan laluan angin. Akibatnya, kami yang berada di tapak tengah menjadi mangsa keadaan.
“Masalahnya, isu ini kami sudah maklumkan kepada DBKL sebelum ini berdasarkan pengalaman kami.
“Tapi apabila tiada tindakan dari DBKL untuk ubah, inilah akibatnya,” katanya. – MalaysiaGazette