PELABUHAN KLANG – Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di negara ini terutamanya warga Indonesia yang berhasrat pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri digesa mengikuti Program Repatriasi Migran.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah melanjutkan program itu sehingga tahun 2026 dan ia lebih baik berbanding cubaan menyelinap secara haram melalui sempadan negara.
“Kita akui wujudnya promosi pihak tertentu di media sosial untuk membawa keluar PATI secara haram dan ia dapat menarik sasaran mereka.
“Kita memberi amaran bahawa seluruh kawalan pintu masa negara dikawal ketat 24 jam dan kita gesa mereka ini yang berhajat pulang ke kampung kita program ini.
“Sebaiknya mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen tampilkan diri bayar kompaun jadi mereka boleh balik dengan cara lebih baik dan terjamin berbanding guna ejen atau sindiket,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Op Khas Pagar Laut 2025 di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di jeti Pusat Hidrografi Nasional di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Tambah Saifuddin, Op Pagar Laut adalah sebahagian operasi yang menyasarkan pergerakan pati secara haram di setiap sudut persempadanan selain isu jenayah rentas sempadan.
Pada tahun lalu, beliau memaklumkan kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM120 juta hasil daripada program repatriasi migran menerusi inisiatif berkenaan.
Menerusi kunjungan di Jakarta baru-baru ini, Saifuddin berkata, Malaysia dan Indonesia telah mencapai persetujuan untuk melanjutkan tempoh repatriasi sehingga April 2025. – MalaysiaGazette