Bomba naikkan paras air parit elak kebakaran di Pekan merebak ke tanah gambut

PEKAN – Pihak bomba akan menggunakan strategi menaikkan paras air disekat air atau water check dam bagi parit di kawasan kebakaran di Kampung Chenderawasih di sini untuk mengelak api merebak ke tanah gambut.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, ia merupakan salah satu daripada strategi bagi mengawal kebakaran di kawasan tanah gambut dan bekas tapak tanaman nenas seluas 94 hektar itu.

“Berdasarkan ketersediaan fizikal di parit itu, terdapat tiga sekat air atau water check dam di mana ia membabitkan Sekat Air 6, 7 dan 8 yang mempunyai paras air berbeza.

“Kita akan tutup Sekat Air 8 untuk kita naikkan paras air supaya pembanjiran kawasan dapat dibuat ke kawasan-kawasan yang telah terbakar dan masih berbara untuk mengelakkan kebakaran turun ke gambut. Sebab gambut ni kita tahu akan menyebabkan asap yang banyak.

“Pada masa sama apabila paras air ini naik, kita akan dapat akses bot untuk hantar pasukan ke dalam kawasan kebakaran. Itu strateginya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kebakaran hutan gambut di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad (dua dari kiri) mendengar taklimat berkenaan situasi kebakaran di Kampung Chenderawasih oleh Pengarah JBPM Pahang, Mohd Razam Taja Rahim di Pusat Kawalan Bencana (PKB) di sini hari ini

Selain itu kerja-kerja pembanjiran kawasan terbakar atau water bombing menggunakan sebuah helikopter masih giat dilakukan pihaknya di mana kawasan seluas 67 hektar telah dipadamkan dalam tempoh tiga hari operasi sehingga hari ini.

Dalam masa sama, Nor Hisham berkata, kerja-kerja meratakan jalan untuk akses anggota mengesan dan memadam kebakaran juga giat dijalankan dengan bantuan dua buah jentera jengkaut.

“Semalam kita telah membuat 22 kali pembanjiran (water bombing) manakala hari ini kita telah buat 27 kali.

“Kesukaran utama yang kita hadapi adalah akses sebab ini bukan kawasan teroka bina sedia ada, ia lebih kepada kawasan hutan. Jadi tiada akses darat,” jelasnya lagi.

Operasi pemadaman kebakaran hutan seluas 94 hektar di Kampung Chenderawasih, Pekan masuk hari ke tiga hari ini

Sementara itu, Pegawai Daerah Pekan, Azora @ Ahmad Shamsudin memberitahu, pihaknya akan mengenakan kadar sewa atau tol kepada pengusaha ladang nenas bagi mengelak penerokaan semakin berkembang hingga ke kawasan hutan.

“Kita akan menjalankan proses pemutihan supaya ada had penggunaan tanah tanaman nenas tu. Kita akan kenakan sewa atau tol kepada pengusaha supaya perkara sebegini tidak berlaku lagi. Kita akan buat sempadanlah,” katanya.

Pegawai Daerah Pekan, Azora @ Ahmad Shamsudin

Beliau berkata, selain menyediakan keperluan jentera bagi memudahkan pergerakan anggota bomba menjalankan proses pemadaman, pihaknya juga menyediakan keperluan logistik lain seperti juadah bersahur dan berbuka puasa buat anggota bomba di lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here