KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Sabah mencadangkan Kerajaan Negeri Sabah serta pihak industri dan majikan melakukan penilaian semula terhadap struktur gaji, terutama bagi graduan baharu.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, gaji permulaan perlu disesuaikan dengan kos hidup yang semakin tinggi di negeri itu.
Tambah beliau, majikan harus dipertanggungjawabkan untuk menawarkan gaji yang lebih adil serta munasabah berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman kerja graduan.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan kerajaan negeri memperkenalkan insentif atau subsidi kepada majikan yang menawarkan gaji lebih tinggi kepada graduan tempatan.
“Langkah ini bukan sahaja akan memberi galakan kepada sektor swasta untuk memberi peluang pekerjaan yang lebih baik, tetapi juga dapat membantu mengurangkan jurang kemiskinan yang wujud di kalangan golongan muda Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Bung Moktar mengulas mengenai laporan sebuah portal berkenaan keluhan graduan baharu di Sabah selepas permintaan mereka untuk mendapatkan gaji minimum RM1,800 ditolak majikan di negeri itu kerana dianggap terlalu tinggi.
Mengenai permintaan graduan itu, Bung Moktar berkata, kadar gaji minimum RM1,8000 di Sabah dianggap wajar memandangkan peningkatan kos hidup di negeri itu yang semakin mendesak.
Ujarnya, generasi muda Sabah juga adalah pemangkin utama dalam pembangunan ekonomi negeri dan negara, justeru mereka sepatutnya diberikan peluang untuk berkembang dalam persekitaran yang adil.
“Sebagai negeri yang kaya dengan sumber alam, Sabah seharusnya mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk anak muda, khususnya graduan tempatan,” katanya.
Sementara itu, dalam merancakkan peluang pekerjaan, Bung Moktar menggesa kerajaan negeri meningkatkan program latihan kemahiran dalam bidang berpotensi tinggi di pasaran seperti teknologi, keusahawanan dan industri kreatif untuk memastikan graduan Sabah memiliki kemahiran yang relevan dan berdaya saing.
Selain itu, katanya, kerjasama yang lebih erat antara kerajaan negeri dan sektor swasta juga diperlukan untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti terutama dalam sektor-sektor utama seperti pelancongan, perindustrian, pertanian moden serta teknologi digital.
“Selain itu, kerajaan negeri perlu meningkatkan pelaburan dalam pembangunan infrastruktur, terutamanya penyediaan akses internet berkelajuan tinggi dan kemudahan pusat inovasi teknologi.
“Langkah ini akan memacu pertumbuhan sektor-sektor baharu yang memerlukan kemahiran digital dan teknikal, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang yang relevan dengan perkembangan semasa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan kerajaan negeri menyediakan bantuan kewangan atau geran bagi graduan yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan.
Inisiatif itu, ujarnya, akan memberikan peluang kepada anak muda Sabah untuk memulakan perniagaan mereka sendiri, seterusnya mencipta peluang pekerjaan bukan hanya untuk mereka, tetapi juga kepada masyarakat sekitar. – MalaysiaGazette