KUANTAN – Seramai 131 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang.
Operasi penguatkuasaan di beberapa lokasi di Bentong dan Kuantan pada 10 dan 11 Mac lalu dibuat berdasarkan aduan awam dan juga maklumat risikan telah melakukan pemeriksaan terhadap 163 warga asing.
Pengarah JIM Pahang, Nursafariza Ihsan berkata, antara lokasi yang telah dikenal pasti adalah sekitar Gohtong Jaya, Bentong dan Kuantan dalam Ops Sapu, Ops Jaja, Ops Kutip, Ops Selesa dan Ops Gegar.
Kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), antaranya Seksyen 6(1)(c) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana Melanggar Syarat Pas yang ditetapkan.
Manakala pecahan warga asing yang ditahan adalah terdiri daripada Warga Negara Indonesia (55), Bangladesh (48), Myanmar (16), Egypt (1), Pakistan (2), China (1) dan Thailand (8), katanya menerusi kenyataan hari ini.
Nursafariza berkata, seramai 12 orang majikan dan pemilik premis turut dikeluarkan notis bagi tujuan membantu siasatan.
Dalam operasi yang dijalankan selama dua hari ini, katanya, masih ramai lagi majikan yang enggan menguruskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja warga asing mereka.
Ia sekaligus menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dari Hasil Kutipan Levi serta memberi kesan yang negatif kepada masyarakat dan negara berikutan kebanjiran warga asing yang kini mempelopori sektor perniagaan, restoran dan sebagainya.
Kesemua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depot Imigresen Kemayan dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 (Akta 150), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Pihak JIM mengingatkan warga asing dan majikan agar sentiasa mematuhi udang-undang yang berkuatkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara. – MalaysiaGazette