Dr Sharifah Shahirah berjaya melaksanakan pembedahan robotik pertama di Johor Specialist Hospital, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Johor Specialist Hospital (JSH) berjaya melaksanakan prosedur pertama menggunakan teknologi pembedahan bantuan robotik pada Sabtu lalu.

Prosedur yang menggunakan sistem pembedahan Da Vinci Xi itu dikendalikan oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Sharifah Shahirah Syed Hashim, menandakan era baharu dalam pembedahan invasif minimum di JSH.

Menurut KPJ Healthcare Berhad dalam satu kenyataan, pencapaian tersebut merupakan yang pertama dalam rangkaian hospital KPJ Healthcare di Johor.

“Ini membuktikan komitmen KPJ Healthcare dalam mengintegrasikan teknologi pembedahan canggih bagi meningkatkan hasil dan pengalaman pesakit.

“Tahun lepas, Hospital Pakar Damansara 2 menjadi hospital pertama dalam rangkaian KPJ Healthcare yang memperkenalkan sistem pembedahan Da Vinci Xi.

“Sejak itu, KPJ Healthcare telah mengembangkan penggunaan teknologi perubatan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) di kesemua 29 hospital swasta mereka, sekaligus memacu kemajuan dalam perubatan ketepatan dan penjagaan pesakit,” katanya dalam kenyataan tersebut hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, perkembangan itu selaras matlamat Care for Life iaitu pihak KPJ Healthcare sentiasa meneroka kemajuan dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai medan inovasi untuk meningkatkan penjagaan pesakit.

“Teknologi ini membolehkan kami untuk melakukan prosedur yang rumit dengan lebih tepat sambil menawarkan pesakit pilihan rawatan yang kurang invasif untuk penyembuhan yang lebih baik, katanya.

Dalam pada itu, Dr Sharifah amat berbesar hati kerana diberi peluang menjadi pakar bedah robotik pertama di Hospital Pakar Johor.

“Saya percaya kemajuan ini akan memberi manfaat yang signifikan kepada pesakit kami dengan meningkatkan ketepatan pembedahan dan kadar pemulihan yang lebih cepat. Dalam kes pertama ini, pembedahan berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here