KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan borong & runcit pada bulan Januari 2025 dengan jumlah jualan sebanyak RM148.9 bilion, merekodkan pertumbuhan 4.6 peratus tahun ke tahun.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan jualan bagi Januari didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong.
Perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM66.1 bilion, meningkat RM5.0 bilion dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak
8.2 peratus.
Manakala perdagangan borong pula mencatatkan jumlah jualan RM66.8 bilion, meningkat RM3.1 bilion, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak
4.9 peratus.
Walau bagaimanapun, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jualan berjumlah RM16.0 bilion, menurun RM1.6 bilion atau -9.1 peratus tahun ke
tahun berikutan prestasi luar biasa pada Disember 2024.
“Perdagangan borong terus daya tahan pada Januari 2025, didorong oleh permintaan yang kukuh terhadap barangan keperluan pengguna. Jualan borong barangan isi rumah meningkat 5.3 peratus kepada RM13.9 bilion, terutamanya disokong oleh peningkatan jualan pakaian dan produk berkaitan farmasi.
“Jualan borong makanan, minuman & tembakau turut mencatatkan kenaikan 5.0 peratus kepada RM13.9 bilion, didorong oleh peningkatan penggunaan
sempena musim perayaan. Pertumbuhan ini juga disokong oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 2.6 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Uzir menjelaskan, subsektor ini disokong oleh Jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 9.7 peratus kepada RM25.5 bilion dan juga jualan runcit di kedai pengkhususan yang berkembang 8.3 peratus kepada RM14.0 bilion pada Januari 2025.
Lonjakan dalam aktiviti jualan runcit ini sebahagian besarnya dipacu oleh sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan musim cuti sekolah.
Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan mencatat pertumbuhan 7.8 peratus kepada RM6.0 bilion, mencerminkan peningkatan aktiviti perjalanan.
Sementara itu, jualan runcit barangan isi rumah meningkat 4.7 peratus kepada RM7.5 bilion, didorong oleh permintaan lebih tinggi terhadap produk peralatan rumah bersempena musim perayaan.
Pada tempoh yang sama, jualan runcit barangan kesenian & rekreasi meningkat 9.4 peratus kepada RM2.9 bilion, disokong oleh pembelian kelengkapan persekolahan menjelang sesi baharu pada Februari.
Namun, dalam tempoh yang sama, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan penurunan dalam jualan berbanding Januari tahun lalu.
Trend sama turut dilaporkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), yang merekodkan jualan sebanyak 48,732 kenderaan berbanding 66,923 kenderaan pada tahun lepas.
Manakala, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan53,930 pendaftaran kenderaan, lebih rendah berbanding 70,186 pendaftaran pada tahun lalu disebabkan oleh pembelian awal pada Disember yang lalu.
Kumpulan lain yang menyumbang kepada penurunan subsektor ini termasuk jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal yang mencatatkan pertumbuhan negatif iaitu -1.2 peratus kepada RM1.1 bilion.
Namun, dua kumpulan lagi iaitu Jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dan penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor merekodkan pertumbuhan positif masing-masing 8.0 peratus dan 5.1 peratus.
Jualan runcit melalui internet pada Januari menunjukkan peningkatan yang ketara, dengan indeks jualan runcit meningkat 9.9 peratus tahun ke tahun, disumbangkan oleh pelbagai promosi sempena perayaan dan juga persediaan persekolahan. – MalaysiaGazette