Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bercakap pada sidang media, ketika Program Lawatan Tinjauan Penguatkuasaan Operasi Khas Pagar Laut di Pelabuhan Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL 12 MAC 2025.

PELABUHAN KLANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengkaji model eksplorasi hasil laut dalam bagi menyelesaikan isu pencerobohan nelayan warga Vietnam di perairan negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kajian itu dilakukan menerusi kerjasama antarabangsa seperti perjanjian antara Kesatuan Eropah dan Maghribi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan Perdana Menteri Vietnam dalam lawatan rasmi beberapa bulan lalu dan kedua-dua negara bersetuju untuk mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.

“Kita tidak boleh selamanya sebegini kerana jumlah nelayan laut dalam dari Vietnam yang memasuki perairan Malaysia adalah terlalu besar dan menimbulkan kebimbangan.

“Menerusi penguatkuasaan, Maritim Malaysia menangkap mereka, menjalankan siasatan dan membawa kes ke mahkamah manakala kapal yang dirampas dimusnahkan.

“Malah kedua-dua pemimpin telah bersetuju untuk bekerjasama dalam ekplorasi perikanan laut dalam untuk mencapai penyelesaian yang menguntungkan bagi kedua-dua pihak,” katanya.

Ujar Saifuddin lagi, Perdana Menteri juga telah mengadakan kunjungan balas ke Vietnam beberapa minggu lalu dan isu tersebut turut dibincangkan malah menunjukkan beberapa perkembangan positif.

“Sepanyol antara negara yang memanfaatkan perjanjian itu dan KDN kini sedang meneliti model tersebut dari segi pengoperasian bersama serta aspek lain sementara menungu keputusan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mengetuai isu ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here