BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas pelbagai jenis minuman keras, rokok serta mercun dan bunga api bernilai keseluruhan lebih RM1 juta termasuk cukai dalam empat serbuan sepanjang Januari lalu.
Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata, serbuan pertama pada 9 Januari lalu membawa kepada rampasan 3,665 botol dan 13,836 tin minuman keras pelbagai jenama bernilai RM267,854 termasuk cukai.
Jelasnya, rampasan itu dibuat di sebuah stor di Bukit Mertajam yang dipercayai dijadikan tempat menyimpan minuman keras tidak berkastam sebelum diedarkan di pasaran tempatan.
“Rampasan kedua membabitkan 555,600 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup di sebuah premis di Nibong Tebal pada 25 Januari lalu.
“Kesemua rokok bernilai RM383,599 termasuk cukai itu dipercayai disimpan di premis terbiar kawasan perkampungan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat bagi kedua-dua kes tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Rohaizad berkata, rampasan mercun dan bunga api dilakukan di dua lokasi berbeza pada 24 Januari lalu dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM349,281 termasuk cukai.
“Serbuan pertama dibuat ke atas sebuah kilang di Seberang Jaya yang membawa kepada tangkapan seorang wanita tempatan berusia 50-an yang merupakan pemilik premis serta rampasan 718 karton pelbagai jenis mercun dan bunga api.
“Serbuan kedua pula membabitkan sebuah stor di Simpang Ampat, Nibong Tebal yang membawa kepada rampasan 468 karton pelbagai jenis mercun dan bunga api. Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik premis.
“Hasil siasatan mendapati kesemua barangan dalam dua serbuan itu tidak mematuhi spesifikasi serta garis panduan yang ditetapkan dalam permit import (AP) seperti dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette