KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan satu kemudahan imigresen baharu iaitu Pas Pelabur yang akan diberikan kepada pelawat perniagaan dan pelabur asing yang masuk ke negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan itu diperkenalkan bagi memudahkan urusan pelabur asing terutama yang telah memberikan komitmen untuk membuat pelaburan di Malaysia menerusi agensi-agensi pelaburan.
Menurut beliau, melalui kemudahan itu, pelabur asing dibenarkan masuk ke Malaysia untuk tempoh selama enam bulan dan boleh dilanjutkan sehingga enam bulan lagi, tertakluk kepada keperluan pemohon.
Jelasnya, kemudahan multiple-entry visa (MEV) turut akan diberikan kepada pemegang pas itu.
“Kemudahan ini adalah satu inisiatif penambahbaikan di mana sebelum ini tiada pas khusus diberikan kepada pelabur asing yang mana mereka hanya diberikan Pas Lawatan Sosial dengan tempoh mengikut kelayakan negara iaitu selama 14 sehingga 90 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Pas Pelabur itu akan mula dilaksanakan pada 1 April ini melalui sistem Xpats Gateway dan maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang Xpats Gateway di https://xpatsgateway.com.my/. – MalaysiaGazette