Dalam nota penyelidikan hari ini, agensi penarafan itu berkata, pertumbuhan ekonomi akan dipacu oleh penggunaan domestik yang baik dan pelaburan langsung asing (FDI) yang teguh.
“Kami menjangkakan metrik kredit utama bagi bank-bank Malaysia akan kekal stabil pada 2025. Kualiti aset akan stabil berikutan pasaran buruh yang teguh walaupun beberapa sektor seperti perdagangan borong dan runcit serta pembuatan terus mengalami cabaran.
“Keuntungan telah meningkat, didorong oleh kos kredit lebih rendah. Bagaimanapun ia akan kekal stabil memandangkan kami menjangkakan margin dan kos kredit akan dikekalkan pada tahap semasa,” katanya.
Moody’s berkata, bank-bank kekal mempunyai modal yang kukuh, dengan jangkaan bahawa bank akan mengoptimumkan struktur modal dengan meningkatkan pembayaran dividen.
Agensi itu berpendapat bahawa pembiayaan dan mudah tunai akan kekal stabil, didorong oleh penyederhanaan dalam persaingan deposit dan penampan mudah tunai yang kukuh selain sokongan berterusan kerajaan kepada bank ketika berdepan cabaran.
Sementara itu, Moody’s Rating berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia diunjur berkembang sebanyak lima peratus pada 2025, hampir setara dengan pertumbuhan 5.1 peratus pada 2024.
“Pasaran buruh stabil, sebahagian besar inflasi yang baik dan pemindahan fiskal akan menyokong penggunaan, walaupun terdapat beberapa risiko daripada pembaharuan subsidi bahan api yang dicadangkan,” katanya.
Selain itu, katanya, dasar kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu akan mendorong pelaburan swasta dan awam.
“Dasar-dasar ini juga akan meningkatkan aliran FDI yang berkaitan dengan peralihan rantaian bekalan serantau dan peningkatan kemampuan pembuatan semikonduktor serta pusat data di Malaysia.
“Kami menjangkakan pelaksanaan strategi ini akan menyokong pertumbuhan kredit dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.
Pada masa sama, katanya Malaysia akan mengurangkan risiko berkaitan tarif perdagangan dan ketegangan geopolitik dengan memperluas akses pasaran dan mempelbagaikan rakan perdagangan, termasuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan negara jiran Singapura.
“Kami juga menjangkakan Bank Negara Malaysia mengekalkan dasar monetari neutral pada tahap semasa tahun ini, yang tidak akan mengehadkan permintaan kredit,” katanya. – BERNAMA