KUALA LUMPUR – Pas sekali lagi mendesak Kerajaan Madani bertindak tegas dalam memelihara kesucian agama Islam serta keharmonian hidup rakyat berbilang bangsa dan agama.
Ia susulan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan umat Islam agar bangkit bersama-sama mempertahankan dan melindungi kesucian agama Islam agar ianya tidak sewenang-wenangnya diperlekehkan oleh mana-mana pihak.
Menjunjung titah itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, seruan baginda supaya setiap Muslim memainkan peranan, mempertahankan kesucian agama Islam dengan hikmah dan kebijaksanaan perlu diberi perhatian semua pihak.
“Saya menyeru kepada semua pihak agar bertenang dan sentiasa menjaga keharmonian hidup bermasyarakat dengan mengutamakan sikap hormat-menghormati serta kesedaran untuk menjaga sensitiviti agama masing-masing.
“Bersempena dengan Ramadan ini, marilah kita berdoa agar Malaysia menjadi negara yang Allah sebut sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, tambah Tuan Ibrahim, sebagai ketua dan pelindung agama kepada negeri, nasihat Sultan Pahang yang mahukan umat Islam tidak berdiam diri apabila agama dihina adalah tanda keprihatinan dan kecaknaan Baginda yang prihatin dengan situasi semasa.
Apatah lagi, ujarnya, sejak kebelakangan ini, banyak pihak di negara ini tanpa rasa bersalah mempermainkan kesucian dan hal ehwal urusan Islam, di mana ada pihak-pihak yang semakin hilang hormat dan memperlekehkan Islam.
Terbaharu, katanya, dalam kes penghinaan agama Islam melalui penularan sebuah video Tik Tok oleh Vijayan Savarinathan yang membuktikan dakwaan tersebut.
Lebih menyedihkan, tambah beliau, tindakan yang bersifat provokatif berkaitan hal ehwal Islam bukan sahaja datang daripada rakyat bawahan, tetapi turut dibuat anggota parti kerajaan yang berjawatan.
Beliau memberikan contoh dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang pernah mencadangkan kerajaan melantik pakar bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Contoh lain, jelasnya, cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui untuk memecahkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada dua portfolio iaitu untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam yang turut menyerlahkan ketidakpatuhan mereka kepada Perkara 3(1) Perlembagaan.
“Terdapat banyak lagi tindakan dan kata-kata pihak seperti ini yang dilihat seolah-olah mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, bidang kuasa dan tugas pihak-pihak berkuasa Islam mahupun kepentingan sah umat Islam,” katanya. – MalaysiaGazette