Shahrulanuar Mushaddat menunjukkan dadah yang dirampas selepas sidang akhbar di IPD Batu Pahat, Batu Pahat, hari ini

BATU PAHAT – Polis menahan seorang pengedar dan merampas dadah bernilai RM282,530 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Puteri Jaya di sini pada 8 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Batu Pahat melakukan serbuan pada pukul 11.30 malam sebelum menahan suspek iaitu seorang lelaki termpatan berusia 57 tahun.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine. Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai 12 rekod berkaitan kes dadah dan jenayah.

“Turut dirampas sejumlah dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat 1,332.50 gram yang bernilai RM222,530 dan 1,850 biji pil eramin 5 seberat 600 gram (RM60,000).

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah RM282,530. Dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 5,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.

Katanya, polis juga menyita sebuah kereta (RM30,000) manakala nilai keseluruhan rampasan dadan dan sitaan dalam serbuan tersebut berjumlah RM312,530.

Menurutnya, suspek mengedar dadah secara bersendirian dengan membeli bahan terlarang itu dalam kuantiti banyak.

“Kemudian suspek mengedarkannya dalam kuantiti kecil ke pasaran tempatan. Kegiatan ini dipercayai aktif sejak Januari lalu,” katanya.

Beliau memberitahu, suspek direman selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 Mac ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here