KUALA LUMPUR – Hukuman penjara dan denda minimum RM10,000 patut dikenakan terhadap ibu bapa atau pemilik yang membenarkan individu tidak mempunyai lesen menggunakan kenderaan.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) Shahrim Tamrin mencadangkan, ibu bapa yang membenarkan anak bawah umur memandu kereta tanpa lesen memandu perlu didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak.
“Kementerian Pengangkutan bersama-sama JPJ sepatutnya meminda undang-undang semasa untuk kompaun minimum RM1,000 bagi mereka yang ditangkap tanpa lesen memandu.
“Sama seperti kesalahan menyalahgunakan lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, pemandu yang tidak berlesen perlu hadir di hadapan hakim.
“Sekurang-kurangnya seminggu di penjara atau denda RM10,000 akan memberi mesej bahawa kerajaan serius untuk menyelamatkan nyawa di jalan raya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kereta atau motosikal yang dibawa tanpa lesen isita oleh pihak berkuasa sehingga tarikh perbicaraan mahkamah.
Tambah beliau, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan juga tidak seharusnya meneruskan kempen kompaun atau diskaun RM300.
Katanya, tindakan tegas itu perlu kerana isu pemandu dan penunggang motosikal tidak berlesen telah menjadi trend yang luar biasa.
Terbaharu kematian remaja di lampu isyarat di Senawang, Negeri Sembilan sekali gus membuktikan kehadiran pemandu tidak berlesen di jalan raya adalah perkara biasa.
Menurut beliau, berdasarkan statistik Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman sebanyak 87 kematian di bawah lingkungan umur 6 hingga 10 tahun dan 2,795 kematian bagi kumpulan umur 11 hingga 15 tahun direkodkan dari 2009 hingga 2021 akibat menunggang motosikal.
Shahrim berkata, dalam tempoh 18 bulan lalu terdapat lonjakan kemalangan, kematian dan tuntutan kecederaan badan yang melibatkan penunggang dan pemandu motosikal tidak berlesen.
Serentak itu beliau berkata, negara amat memerlukan undang-undang yang lebih tegas terhadap pemanduan melulu.
Lebih penting menurutnya, Kementerian Pengangkutan dan JPJ perlu memulihkan sistem demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang tidak berkesan dalam mengekang pemandu melulu dan pesalah trafik yang ingkar.
“Peningkatan kes membabitkan pemandu dan penunggang motosikal tidak berlesen akhir-akhir ini mencerminkan penguatkuasaan yang lemah, dan jelas bahawa undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk membendung trend yang membimbangkan ini.
“Ramai yang menerima kompaun RM300 sahaja dan tidak termasuk dalam senarai hitam dalam pangkalan data pesalah.
“Sistem demerit KEJARA mesti dihidupkan semula untuk menimbulkan ketakutan kepada masyarakat. Kenderaan yang dipandu oleh orang tidak berlesen yang terlibat dalam kemalangan atau dihalang oleh penguat kuasa di tepi jalan mesti disita sehingga keputusan perbicaraan mahkamah,” tegas beliau.-MalaysiaGazette
Bukan yg tak ada lesen jaa..yg ada lesen pun ramai memandu mcm org gila sampai kemalangan maut…