KUALA LUMPUR – Veteran UMNO Malaysia sudah mengatur gerak bagi memastikan seramai 6,561 pengundi veteran pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN).
Menurut Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob, perbincangan mengenai gerak kerja dan strategi menjelang PRK itu telah dilakukan bersama Veteran UMNO Negeri Perak dan Veteran UMNO Bahagian Tapah minggu lalu.
Jelas beliau, tumpuan ketika ini adalah bagi memastikan pengundi veteran itu serta ahli keluarga mereka mengundi BN menerusi kempen dengan slogan Keluargaku Pengundi BN.
Sehubungan itu, ujarnya, sebanyak 40 program sembang santai dan berjumpa pengundi akan diatur di semua 20 pusat daerah mengundi (PDM) yang merangkumi 65 cawangan UMNO dalam DUN Ayer Kuning sepanjang PRK tersebut kelak.
“Berdasarkan rekod yang lepas, kita yakin calon UMNO/BN mampu menang selesa, malah mampu mengulangi kemenangan pada PRK DUN Nenggiri dan Mahkota.
“Dengan kerjasama dan bantuan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat undi lebih 6,000 dalam PRU yang lalu, maka UMNO/BN mampu meraih majorti lebih besar pada PRK Ayer Kuning kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mustapha berharap tidak timbul isu atau masalah dalam pemilihan calon PRK Ayer Kuning oleh pucuk pimpinan kelak dan mendapat sokongan penuh Bahagian, Cawangan dan ahli-ahli UMNO di kawasan tersebut.
Jelasnya, walaupun yakin menang selesa, namun soal pemilihan calon tetap penting dan perlu dipastikan boleh diterima keseluruhan pengundi Ayer Kuning, bukannya hanya popular dalam kalangan ahli UMNO semata-mata.
Dalam masa sama, beliau turut mengharapkan semua jentera PH turun padang membantu gerak kerja kempen khususnya dalam memastikan sokongan seramai 6,747 pengundi Cina dan 4,609 pengundi India.
“Selain itu, pemimpin masyarakat Orang Asli juga mesti turun padang bagi meraih kepercayaan dan sokongan seramai 2,156 pengundi masyarakat itu dalam DUN Ayer Kuning,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN N48 Ayer Kuning diadakan pada 12 April ini dengan pengundian awal pada 22 April, manakala hari pengundian pada 26 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tapah yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – MalaysiaGazette