Aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi sebanyak 4,168 kilogram (kg) berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pada 6 Mac lalu. Foto KPDN Putrajaya

KUALA LUMPUR – Aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi sebanyak 4,168 kilogram (kg) berjaya ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pada 6 Mac lalu.

Serbuan dilakukan di sebuah premis di Taman Semenyih Jaya, Semenyih, Selangor oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya sekitar jam 4.00 petang menerusi hasil risikan yang dilakukan selama tiga bulan.

Ketua Pengarah Pengkuat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, susulan itu enam lelaki melibatkan seorang warga tempatan dan lima warga asing berusia 30-an ditahan yang juga pekerja premis terbabit bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati lokasi serbuan mendapati, premis ini menjalankan aktiviti pembinaan dan telah dijadikan stor haram untuk menjalankan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premisi itu dijadikan tempat untuk memotong bungkusan minyak masak paket bersubsidi 1kg sebelum dipindahkan ke dalam tangki jenis intermediate bulk container (IBC) dipercayai untuk dijual semula kepada pihak industri.

“Dalam operasi ini, pasukan serbuan telah menemukan empat unit tangki IBC yang mengandungi minyak masak, kotak serta plastik minyak masak paket yang telah dipotong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minyak masak bersubsidi yang dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki jenis intermediate bulk container (IBC) dipercayai untuk dijual semula kepada pihak industri. Foto KPDN Putrajaya

Azman berkata, kesemua minyak masak sebanyak 4,168kg dan beberapa peralatan yang digunakan telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM40,000.00.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 20010) [Akta 613],” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here