Datuk Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR – Parti Warisan menyangkal dakwaan kononnya parti itu mahu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) apabila membuat keputusan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah tidak lama lagi.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, parti itu konsisten dalam sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak pernah berpaling daripada kerajaan hari ini sejak berlakunya Langkah Sheraton.

Malah ketika kerajaan bertukar dari Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri juga, Warisan tetap dengan pendirian menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

“Maka adalah tidak wajar untuk mempersoalkan kesetiaan Warisan dalam mendukung Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Pengarah Komunikasi Nasional PKR, Lee Chean Chung semalam yang menggesa Warisan digesa mempertimbangkan semula keputusan untuk bertanding secara solo dalam PRN-17 Sabah akan datang bagi memastikan kestabilan politik dan pembangunan berterusan di negeri itu.

Terdahulu,  Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti pimpinannya setakat ini memilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah secara solo.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, walaupun pelbagai spekulasi dan khabar angin mengaitkan Warisan dengan parti lain sebelum ini, pihaknya lebih selesa bertanding sendiri.

Sementara itu, Mohd Azis berkata, dalam mesyuarat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Anwar sendiri, Mohd Shafie dengan jelas menyatakan Warisan memilih untuk menjadi pembangkang peringkat negeri Sabah.

Katanya, ia adalah bagi memastikan proses semak dan imbang yang lebih kukuh bagi kepentingan rakyat Sabah.

“Warisan bukan parti yang menikam rakan dari belakang. Apabila Pakatan Harapan (PH) memilih untuk membentuk kerajaan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan mengambil keputusan untuk kekal dengan prinsipnya sebagai pembangkang.

“Oleh itu, agak menghairankan apabila saudara Lee (Chean Chung) tiba-tiba menunjukkan reaksi terkejut terhadap pengumuman Warisan untuk bertanding secara solo,” katanya.

Tambahnya, PH dan Warisan sebelum ini pernah bekerjasama erat di Sabah malah ada calon PH yang bertanding menggunakan logo Warisan dalam pilihan raya lalu.

Ujarnya, ketika Warisan ditawarkan untuk menyertai Kerajaan Persekutuan semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Warisan menolak dan memilih untuk terus bersama PH sebagai pembangkang.

“Namun, apabila Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan GRS di Sabah, PH memilih untuk meninggalkan Warisan dan membentuk kerajaan bersama GRS.

“Oleh itu, adalah wajar untuk bertanya – siapa sebenarnya yang meninggalkan siapa?” soalnya.

Ujar Mohd Azis, pendirian Warisan jelas dan tidak berubah yang mana parti itu menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Namun di Sabah parti itu memilih untuk kekal dengan prinsip kami sebagai pembangkang, bukan kerana soal kesetiaan, tetapi soal konsistensi dan keutamaan terhadap kepentingan rakyat Sabah.

“Oleh itu, kami berharap agar semua pihak menghormati pendirian Warisan sebagaimana kami menghormati hak rakan-rakan lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk membuat keputusan mereka sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here