BATU PAHAT – Mensasarkan rumah dan premis tempat simpanan harta atau barangan berharga yang tidak berpenghuni sebelum melakukan aktiviti pecah rumah serta mencuri.
Itu merupakan modus operandi kegiatan sebuah kumpulan pecah rumah yang dipercayai mulai aktif beroperasi di kawasan Senggarang, Rengit dan Batu Pahat sejak Januari lalu.
Bagaimanapun kegiatan mereka tumpas selepas berjaya dikesan sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Batu Pahat dan Balai Polis Rengit dan Balai Polis Senggarang melancarkan empat siri serbuan pukul 2 petang, 4 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, serbuan dilakukan di tiga lokasi iaitu di kawasan Rengit dan bandar ini.
“Empat lelaki berusia antara 24 hingga 31 tahun ditahan polis bersama sejumlah rampasan pelbagai jenis barang kes, dipercayai diperoleh daripada hasil jenayah pecah rumah dan curi.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif Methamphetamine dan mempunyai 26 rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di sini hari ini.
Katanya, tangkapan pertama mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, tangkapan kedua (empat rekod jenayah lampau), tangkapan ketiga (dua rekod jenayah lampau) dan tangkapan keempat (13 rekod jenayah lampau).
Menurut beliau, turut dirampas pelbagai barang kes seperti jam tangan, gelang tangan, telefon bimbit, peralatan elektrik dan tabung derma serta pelbagai jenis peralatan yang dipercayai diguna untuk pecah rumah termasuk pemotong besi dan wayar, gergaji rantai, tukul besi dan kuku kambing.
“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, setakat ini pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes pecah rumah dan curi yang dipercayai dilakukan kumpulan ini,” tambahnya.
Shahrulanuar Mushaddat memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette