KPDN menumpaskan satu sindiket penyelewengan LPG membabitkan rampasan RM860,000 dalam satu serbuan sebuah stor di Ulu Tiram, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menumpaskan satu sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) membabitkan rampasan RM860,000 dalam satu serbuan sebuah stor di Ulu Tiram di sini semalam.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kejayaan serbuan berkenaan adalah hasil risikan beberapa hari sebelum operasi dilancarkan menerusi inisiatif Kita Gempur.

“Hasil pemeriksaan, pihak kami menemui sebanyak 1,743 unit tong gas LPG berisi dan kosong berkapasiti 14 kilogram (kg), selain sebuah lori tanker yang mengandungi kira-kira 24,724 kg LPG.

“Ini termasuk beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan turut disita. Tiada tangkapan dilakukan kerana semasa serbuan tidak menemukan mana-mana individu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai menjalankan aktiviti decanting dengan memindahkan LPG bersubsidi daripada tong 14 kg ke dalam lori tanker untuk tujuan penjualan haram.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM860,000 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Jika disabit kesalahan ujarnya, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan pertama.

Bagi syarikat atau perbadanan pula katanya, denda maksimum RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan seterusnya boleh mencecah RM5 juta.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam sindiket tersebut, termasuk sumber bekalan LPG dan rantaian pengedarannya.

KPDN Johor turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyelewengan LPG melalui talian WhatsApp 019-8488000, portal e-Aduan ([email protected]), pusat panggilan 1-800-886-800, atau aplikasi Ez Adu KPDN.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here