KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pengarah syarikat bergelar Datuk kerana disyaki terlibat kegiatan pengubahan wang haram hasil daripada urusan jual beli sebuah kapal tangki.
Majistret Noorfazlin Hamdan membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an direman selama empat hari hari sehingga 15 Mac 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pagi tadi.
Menurut sumber, suspek dipercayai menerima, memindah serta menggunakan hasil haram melibatkan urusan jual beli sebuah kapal tangki menerusi perjanjian jual beli yang ditandatangani dengan sebuah syarikat lain sekitar November 2021.
“Suspek dipercayai terbabit kegiatan pengubahan wang haram berkenaan antara tahun 2021 sehingga 2022.
“Susulan itu, suspek telah ditahan sekitar 4.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Norhaizam Muhammad mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – MalaysiaGazette