KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan keuntungan sebelum cukai yang dicatatkan syarikat aktif milik agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada 2024 adalah sebanyak RM259.97 juta, menurut Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang.
Beliau berkata, syarikat milik agensi di bawah KKDW seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Bhd, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah menunjukkan prestasi kewangan yang kukuh biarpun terdapat beberapa syarikat mencatatkan kerugian iaitu sebanyak RM47.81 juta.
“Bagi memastikan syarikat milik agensi KKDW kekal dengan pertumbuhan prestasi kewangan dan operasi yang positif, KKDW komited memperkemaskan tadbir urus korporat dan kemampanan syarikat dengan langkah proaktif melalui penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) selain pemantauan yang berterusan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang bertanya mengenai prestasi keuntungan dan kerugian syarikat milik agensi di bawah kementerian itu bagi 2024.
Mengulas lanjut, Rubiah berkata kementerian mengambil penetapan iaitu KPI mesti dicapai oleh semua syarikat milik agensi KKDW dengan tema ‘From Cost Center to Profit Center’ yang melibatkan aspek prestasi kewangan syarikat, kemampanan perniagaan dan tadbir urus.
“Secara keseluruhannya anak syarikat di bawah KKDW terdiri daripada 122 anak syarikat dan subsidiari, daripada jumlah itu, 100 anak syarikat atau subsidiari kekal aktif sehingga sekarang,” katanya. – BERNAMA