KUALA LUMPUR – UMNO mengulangi pendirian tidak terlibat dengan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu yang terkait dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru itu, presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap Ismail Sabri.
“Kita (UMNO) berpendirian bahawa UMNO tidak pernah terlibat dengan wang dan jongkong emas yang telah disita oleh SPRM dan tidak ada sabitan langsung untuk dana politik ataupun kutipan yang dibuat oleh UMNO.
“Di dalam hal ini kita menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan dan jika tindakan perundangan sekalipun maka itu terserah kepada SPRM dan juga Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada media hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian mengulas pertanyaan media berhubung penemuan wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta jongkong emas di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan safe house oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri berkenaan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu yang terkait Ismail Sabri.
Ditanya samada dakwaan itu akan melemahkan UMNO, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana perkara tersebut tiada kaitan dengan parti.
“Tidak terjejas. Itu bukan isu dalam kalangan kepimpinan dan ahli UMNO. Kami anggap ia sebagai kes peribadi atau individu, tiada kaitan rasmi dengan kami (UMNO),” katanya lagi.
Pada 2 Mac lalu, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta hasil pemeriksaan di beberapa lokasi berkaitan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri.
Operasi penggeledahan itu dijalankan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai dijadikan safehouse susulan penahanan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri berkenaan.
Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya membuka kertas siasatan pada awal tahun lepas berhubung isu Keluarga Malaysia membabitkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta. – MalaysiaGazette