KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menawarkan ganjaran sebanyak RM500 kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian vandalisme yang berlaku di Taman Permainan di Jinjang Baru.
Menurutnya, beliau menerima aduan Taman Permainan Jalan 13/32, Jinjang Baru, Kepong, mengalami kebakaran kelmarin, sekali gus menyebabkan kerosakan besar pada harta awam.
Katanya, kebakaran itu memusnahkan gelongsor dan lantai getah taman permainan yang baru dinaik taraf tahun lalu dengan peruntukan RM200,000 daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Jelas beliau, menurut saksi, sekumpulan kira-kira 10 kanak-kanak berusia 10 hingga 15 tahun dipercayai terlibat dan insiden itu mencetuskan kebimbangan penduduk mengenai keselamatan kemudahan awam.
“Sebarang perbuatan merosakkan harta awam tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi terhadap kemudahan yang baru dinaik taraf untuk masyarakat,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurutnya, beliau akan menyerahkan maklumat yang diterima daripada mana-mana saksi berhubung kejadian itu kepada pihak polis supaya siasatan sewajarnya dapat dilakukan.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Pejabat Ahli Parlimen Kepong di talian 011-2770 1218 atau balai polis berdekatan.
“Kejadian ini harus menjadi peringatan kepada masyarakat supaya menjaga kemudahan awam bagi mengelakkan kejadian serupa berulang,” katanya. – MalaysiaGazette