GEORGE TOWN – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap bekas Pengerusi Penang Front Party (PFP) selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan eksploitasi seorang wanita sebagai buruh paksa.
Hakim, Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman enam tahun penjara bagi setiap kesalahan terhadap Datuk Ooi Khar Giap, 57, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.
Bagaimanapun, hukuman tersebut diperintah berjalan serentak, menjadikan tempoh penjara yang perlu dijalani oleh seorang pengarah syarikat itu hanya enam tahun.
“Setelah meneliti keterangan dan hujahan yang dikemukakan, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah.
“Mahkamah juga mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes ini dengan kukuh. Oleh itu, selepas mempertimbangkan rayuan, mahkamah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara bagi setiap pertuduhan,” katanya dalam keputusan penghakiman.

Mazdi membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.
“Jika rayuan difailkan hari ini, mahkamah akan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman hari ini juga. Jika difailkan esok, maka penangguhan hanya diberikan esok,” katanya.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permintaan pendakwaan agar Khar Giap membayar pampasan kepada mangsa dalam kes ini.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dinaikkan daripada RM40,000 kepada RM80,000 dengan dua penjamin warga Malaysia, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis setiap bulan.
Khar Giap didapati bersalah memperdagangkan Law Yih Yng, 36, bagi tujuan buruh paksa di Happy Food Court, Star Avenue Commercial Centre, Simpang Ampat antara Jun 2022 hingga 3 Julai 2022.
Dia juga didapati bersalah atas kesalahan sama terhadap mangsa di Jalan Kedah antara 7 Julai 2022 hingga 29 Oktober 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sepanjang perbicaraan dua tahun, seramai 11 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong, manakala Khar Giap diwakili peguam Eng Yuh Pei dan Tan Jia Jing. – MalaysiaGazette