JOHOR BAHRU – Berang kereta dipandu dipotong sebuah kereta lain yang memotong barisan semasa kesesakan lalu lintas menjadi punca pertengkaran antara dua lelaki di Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) di bandar raya ini pada 9 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, dalam kejadian itu seorang lelaki keluar dari kereta selepas berang keretanya dipotong sebelum bertengkar dengan pemandu kereta yang memotongnya iaitu seorang lelaki sambil memegang sebatang kayu.
Katanya, video berdurasi 27 saat yang memaparkan pertengkaran berkenaan tular dan pihaknya berjaya mengenal pasti dan menahan suspek berusia 30 tahun di Skudai, di sini, semalam.
“Turut dirampas, sebatang rotan yang digunakan dalam kejadian berkenaan. Siasatan mendapati, suspek bertindak demikian disebabkan berang, selepas mangsa memotong barisan semasa kesesakan lalu lintas.
“Semakan rekod pula menunjukkan, suspek mempunyai dua rekod lampau kes jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video tersebut bagi mengelak spekulasi. Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323.
Kejadian di lebuh raya berkenaan berlaku di laluan menghala ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, membabitkan suspek yang memandu Honda HR-V berwarna perak bertikam lidah dengan mangsa.
Video tersebut dimuat naik dalam media sosial sejak Isnin, dipercayai berlaku ketika jalan raya sesak. – MalaysiaGazette